KOTA SAMARAHAN: Beberapa buah bangunan terbiar di sekitar Kuching dan Samarahan bukan sahaja menyeramkan atau mencemari pemandangan, tetapi menjadi lokasi tumpuan penagih dadah dan maksiat.

Terdapat beberapa deret bangunan terbiar, berdekatan Pejabat Pos Kota Samarahan di sini, dipercayai sebuah bank dan hotel yang tidak lagi digunakan.

Ia dipenuhi sampah-sarap daripada kaca yang pecah, perabot lama dan seumpamanya.

Malah, terdapat juga bangunan terbiar di kawasan Samarindah yang sebelum ini digunakan sebagai pusat beli-belah.

Selain itu, berdekatan bangunan tersebut, terdapat sebuah lagi bangunan yang pernah digunakan untuk menjual barangan basah, tetapi kini terbiar begitu sahaja menyebabkan ia kotor dipenuhi najis burung.

Dalam bangunan pula ia dicemari contengan dan sampah-sarap daripada kayu buruk dan plastik yang jatuh dari siling yang uzur.

Menurut Justin Anna Jeragan, 18, pekerja gunting rambut berdekatan bangunan tersebut, ia sudah pun terbiar sejak beberapa tahun yang lalu.

“Dahulu ia digunakan oleh sebuah syarikat besar untuk menjalankan perniagaan dan antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai.

“Namun tiba-tiba sahaja ia ditutup dan kini hanya tinggal kedai gunting yang kami uruskan,” ujarnya.

Justin menambah, kawasan tersebut pernah dipantau beberapa pihak termasuk tentera, namun sehingga hari ini tiada apa-apa tindakan lanjut menyebabkan ia terbiar.

Sementara itu, Muhammad Izzudin Ahmad Nazarizam, 18, peniaga air di kawasan Samarindah berkata, jika dibandingkan dahulu dan sekarang, ia jauh berubah.

“Dahulu ramai orang di sini, namun sekarang ini tidak lagi. Ia bukan sahaja sunyi sepi, malah agak menyeramkan,” katanya.

Sementara itu, menurut penduduk Kota Samarahan, Fazalina Sulaiman, 25, bangunan terbiar jika terus dibiarkan akan menjadi ‘sarang’ penagih.

“Tempat sebegini memang menjadi tempat mereka (penagih dadah) dan boleh mencemarkan pemandangan.

“Jika bangunan ini tidak digunakan, robohkan sahaja supaya bangunan baharu dapat dibina,” katanya.

Bagi Aman Lawan, 57, bangunan terbiar di sekitar Kuching harus dibangunkan semula.

“Membangunkan semula bangunan terbiar ini boleh menjimatkan kos daripada membina semula. Tambahan, bangunan terbiar agak menyeramkan dan kotor. Ia juga menjadi sarang penagih dadah dan maksiat,” tambahnya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan AADK Sarawak menahan enam gelandangan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sebuah bangunan terbiar di Jalan Ajibah Abol.

Enam gelandangan tersebut didapati positif dadah jenis syabu dan semua suspek di siasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).