Apabila sebuah portl nasional memaparkan kenyataan kononya daripada Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa majoriti rakyat Sarawak mahu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kembali menjadi Perdana Menteri, ia mendapat reaksi hangat.

Terutamanya oleh penyokong kerajaan di peringkat Persekutuan, yang kemudian menuduh ia pandangan berat sebelah, tidak mewakili rakyat Sarawak seluruhnya serta melabelkan Nancy dengan pelbagai perkataan yang tidak sepatutnya.

Dalam kebanyakan komen yang dilemparkan, ternyata banyak yang hanya membaca tajuk dan memetik di luar konteks akan isu tersebut.

Secara harafiah, Nancy menyebut: “ … kerajaan yang lalu tidak berbuat jahat kepada Sarawak. Jika ada bertanya sekarang, untuk mereka yang paling ikhlas tentang pembangunan di Sarawak, bercakap tentang politik pembangunan, mereka mahu Datuk Najib untuk berada di sana. Kenapa? Kerana Datuk Najib yang membuatkan segala-galanya ‘berlaku’ untuk Sarawak.

“Beliau berkunjung ke segenap luar bandar dan pedalaman Sarawak dan sejak beliau menjadi Perdana Menteri (saya tidak mempromosikan beliau tetapi hadapilah kenyataan), beliau tahu apa yang Sarawak perlukan. Beliau datang ke Sarawak untuk lebih 60 kali. Dan ini menjadikan mudah untuk kita.”

Kenyataan Nancy pada forum “Empat tahun akan datang: Apa untuk Malaysia sekarang” sebenarnya cukup jelas dan matang, tidak berunsurkan politik. Ia luahan ikhlas yang tidak dirancang pada teks.

Sememangnya sejak menggantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib merupakan individu yang merealisasikan pelbagai projek pembangunan di negeri ini, yang jurang ketinggalannya amat jauh berbanding beberapa negeri di Semenanjung.

Beliaulah yang merealisasikan Projek Lebuh Raya Pan Borneo, malah banyak projek luar bandar bernilai berbilion ringgit diluluskan dalam projek walkabout.

Beliau juga membuka pintu rundingan mengenai semakan semula Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi untuk Sarawak – sesuatu yang begitu sensisif untuk dikatakan sebelum era pentadbirannya.

Lebih membanggakan, beliau melantik begitu banyak pemimpin dari Sarawak untuk diangkat sebagai menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan. Dan hakikatnya, Sarawak mengalami perubahan begitu drastik selepas itu. Justeru atas alasan apa rakyat Sarawak perlu membenci Najib? Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Berbalik kepada isu Nancy, beliau tidak sedikit pun menyebut tentang rakyat Sarawak mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri. Beliau hanya membayangkan keselesaan rakyat terhadap Najib.

Dan sewajarnya pemimpin yang ada sekarang bertindak dengan nada yang sama, agar mereka juga dihormati oleh rakyat negeri ini. Malangnya, apa yang berlaku, Sarawak terus dianaktirikan, malah beberapa projek yang diluluskan sebelum ini sama ada ditangguh atau dibatalkan.

Kerana itu, pemimpin pembangkang di Sarawak usah seperti ‘burung kruak’ yang hanya bising namun tidak pandai terbang. Rakyat Sarawak tidak sedungu seperti yang mereka fikirkan.

Daripada bersorak berhubung perkara yang tidak jelas di mata, ada baiknya mereka bertanya kepada diri sendiri, apa sumbangan Kerajaan PH untuk Sarawak sejak mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.

Jangan asyik bercakap dan berjanji namun masih sukar menepati.