PADAWAN: Seorang remaja bertindak menyerang bapa kekasihnya apabila kantoi selepas seminggu ‘berbulan madu’ di dalam bilik tidur anaknya yang baharu berusia 13 tahun.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Isnin lalu sekitar jam 5.30 petang di rumah pengadu di Taman Moyan Jaya 2, Batu Kawa apabila dia bertindak menyerbu bilik tidur anak gadisnya yang terletak di tingkat atas selepas mengesyaki suspek berada di dalamnya.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata ayah gadis berkenaan yang berniaga gerai makan telah menyuruh anaknya membuka pintu beberapa kali tetapi tidak dibuka menyebabkannya memecah masuk dan mendapati suspek sedang bersembunyi dalam tandas manakala anak perempuannya berada dalam bilik tidur.

“Selepas itu, suspek terus keluar dari tandas lalu meluru ke arahnya dan menyerangnya menggunakan pisau lipat.

“Pengadu cuba menghalang suspek tetapi suspek masih juga menyerangnya sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan luka di dada, telinga, pipi, jari dan calar di perut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidil menambah dengan dibantu ahli keluarganya, pengadu berjaya menahan suspek yang berusia 16 tahun dari Kampung Simboh, Jalan Mambong / Sarig dan terus menghubungi polis.

Katanya siasatan lanjut mendapati anak pengadu dan suspek bersekolah sama di sebuah sekolah swasta di sini.

Malah, beliau berkata pengadu sekeluarga juga mengenali suspek kerana pernah melihatnya bersama anak perempuannya semasa perayaan Hari Gawai yang lepas.

Menurut Aidil, suspek mengaku telah masuk ke dalam bilik mangsa seminggu yang lepas dan mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa (anak pengadu) sebanyak 11 kali.

Katanya suspek juga mengaku mencederakan bapa mangsa kerana cuba melarikan diri.

Aidil berkata suspek kini direman selama lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 376 Kanun Keseksaan.