BAU: Teruja untuk mendapatkan duit bantuan sara hidup bagi tujuan perubatan daripada kerajaan, seorang wanita akhirnya menjadi mangsa penipuan sekumpulan ejen temberang.

Bukan sahaja tidak dapat menikmati bantuan itu, malah mangsa yang berusia 59 tahun turut hilang barangan bernilai iaitu seutas gelang tangan emas, seutas rantai leher emas beserta loket, seunit telefon bimbit, kad bank termasuk wang tunai sebanyak RM800.

Mengesahkan kes, Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata segalanya bermula semasa wanita berkenaan sedang membeli sayur di pasar basah di sini, lebih kurang jam 10.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa telah didatangani suspek iaitu seorang wanita tempatan yang tidak dikenali dan menawarkan untuk membantunya mendapatkan bantuan sara hidup bagi tujuan perubatan daripada kerajaan.

Beliau berkata setelah mendengar penerangan dari suspek, mangsa bersetuju dengan tawaran dan mengikut suspek masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.

Di dalam kereta itu, terdapat juga dua lelaki tempatan yang merupakan rakan suspek dan mereka kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah buruk untuk bergambar sebagai bukti dia benar-benar orang miskin.

Menjelas lanjut, Poge berkata sampai di sebuah tempat tidak jauh dari tapak perkuburan mewah Nirvana, mangsa telah disuruh oleh suspek untuk menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya, masukkan ke dalam beg tangan miliknya dan tinggalkan di dalam kereta berkenaan.

Suspek kemudian menyerahkan kad pengenalan mangsa dan wang tunai RM20, sebelum menyuruhnya berdiri di kawasan semak untuk diambil gambar.

“Semasa hendak mengambil gambar mangsa, rakan suspek memberitahu yang bateri telefon bimbitnya telah habis dan menyuruh mangsa untuk tunggu sementara dia pergi ke kereta untuk menukar bateri telefon bimbit.

“Mangsa tunggu dan apabila mendapati rakan suspek tidak datang semula, dia pergi ke tempat letak kereta berkenaan namun mendapati kesemua suspek sudah beredar.

“Selepas itu, baharulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan pujukan dan rayuan terutama dari orang yang tidak dikenali serta menghindari sikap tamak dan sikap mendapat kesenangan melalui jalan yang mudah.