KUCHING: Cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat negara ini.

Walaupun ia salah satu pembaharuan dalam landskap politik negara, tetapi perubahan itu mendapat isyarat positif terutamanya dalam kalangan belia.

Indonesia dan Timor Leste antara negara yang memberi hak mengundi kepada remaja berumur 17 tahun.

Bagaimanapun, had umur kelayakan mengundi 21 tahun sebelum ini tidak pernah dikaji walaupun banyak negara lain menurunkan had umur minimum mengundi kepada 18 tahun sejak 1970-an.

Suara Sarawak membuat tinjauan umum mengenai suara hati dan pendirian anak muda mengenai isu berkenaan.

Vanessa Rossa, 17, bersetuju usul menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

“Anak muda masa sekarang mempunyai minda terbuka dengan pelbagai maklumat dalam dunia teknologi kini.

“Bagaimanapun, remaja di bawah usia 21 tahun harus mendapat bimbingan dan rujukan betul sebelum membuat pertimbangan mengundi dalam pilihan raya.

“Sistem pembelajaran strategik dan bimbingan yang betul membolehkan remaja membuat keputusan bijak mengenai kepentingan masa depan negara,” katanya.

Bagaimanapun remaja di negara ini jelasnya, harus didedah mengenai sistem politik negara dan isu semasa sejak di bangku sekolah lagi agar mereka dapat menilai dengan lebih baik.

Mohd Syarafuddin, 19, seorang pelajar bersetuju atas sebab untuk menguatkan lagi suara anak muda di negara ini.

“Suara orang muda kuat dan harus didengar untuk membantu menuntut hak yang sepatutnya didengar daripada kami anak muda.

“Usul ini juga membawa kebaikan kepada remaja bawah 21 tahun kerana dapat memupuk kesedaran berani bersuara menggunakan landasan yang betul,” katanya.

Kimberly Mathias, 20, juga menyambut baik usul tersebut sambil menjelaskan, cadangan itu merupakan salah satu cara terbaik untuk memberi peluang kepada orang muda menyuarakan suara mereka.

“Selama ini biasanya suara orang tua lebih didengar berbanding orang muda.

“Kami mempunyai fikiran dan sebagai rakyat Malaysia, kami mempunyai hak untuk mengundi.

“Mengundi itu tanggungjawab semua tanpa mengira peringkat umur,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dean McLouis, 20, pula bersetuju sambil menegaskan, suara anak muda perlu diambil kira dan didengar untuk memilih pentadbir negara pada masa akan datang.

“Anak muda sudah tentu berkhidmat untuk negara pada suatu masa nanti malah mungkin ada antaranya bakal menerajui tonggak pemerintahan negara,” katanya.

Bagaimanapun kata Dean, perkara yang perlu diambil kira terutama aspek negatif dan positif sebelum kerajaan meminda Perkara 119 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan mengundi kepada 18 tahun.

“Sudut negatifnya, remaja bawah 21 tahun rata-rata mempunyai akal fikiran masih mentah dan mudah dipengaruhi pihak yang mempunyai niat kurang baik.

“Mereka terdedah kepada unsur tidak baik terutamanya dalam kesilapan semasa mengundi.

“Maka, masa depan negara sudah pastinya akan terjejas sekiranya tampuk kepemimpinan dipegang orang yang salah,” ujarnya.