KUCHING: Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Kerajaan Persekutuan yang baharu sedaya upaya mengekang dan menghapuskan liberalisasi perdagangan di negara ini.

Adun Pending Violet Yong berkata, pengenalan permit import gula (AP) untuk pengilang F&B di Sarawak adalah langkah yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, permit import gula ini digunakan untuk mengimport dan mendapatkan bekalan bahan mentah seperti gula dari negara luar seperti Thailand dan Filipina.

“Permit ini dapat digunakan oleh pengilang F&B di Sarawak untuk mendapatkan bekalan bahan mentah seperti gula dari negara luar,” katanya.

Violet berkata, selama ini pengilang F&B hanya membeli bekalan gula daripada dua syarikat tempatan iaitu MSM Malaysia Holding. Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinary Sdn. Bhd.

Penguasaha dan pengilang F&B di Sarawak akan mendapat banyak manfaat melalui permit yang diperkenalkan ini.

“Kita dapat melihat Kerajaan Persekutuan berusaha membantu pengilang tempatan melalui permit ini, sekali gus dapat menjimatkan kos pengeluaran mereka. 

“Selain itu, peluang ini akan memberikan manfaat kepada pengilang F&B tempatan untuk terus bersaing dengan syarikat lain dalam pasaran global,” tambahnya lagi.

Beliau berharap Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha ini kerana dapat memberikan kesan positif kepada pengilang tempatan dan seterusnya dapat memajukan ekonomi Sarawak.