KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyambut baik pengisytiharan harta oleh ahli politik di Sarawak, kata Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor.

Bercakap kepada media semasa Ramah-Tamah Gawai Raya anjuran agensinya di sini, semalam, Razim memberitahu, pada Februari lalu, beliau berkesempatan berbincang dengan Ketua Menteri berkaitan pengisytiharan harta oleh wakil rakyat negeri itu.

“Pada Mac, saya kemukakan format pengisytiharan harta yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk beliau (Abang Johari) berbincang dengan wakil rakyat daripada GPS.

“Ketika saya serahkan format terbabit, pengisytiharan harta dalam kalangan ahli politik tidak diwajibkan, namun ia kini telah diluluskan di Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Razim, beliau hanya menunggu Dun Sarawak untuk menentukan sama ada meluluskan rang undang- undang pengisytiharan harta oleh wakil rakyat atau sebaliknya.

Pengisytiharan harta oleh ahli politik dibuat kepada JPM dan satu salinan diserahkan kepada SPRM sebagai rekod. Pengisytiharan harta terhadap kakitangan kerajaan pula adalah perkara wajib dan kini ia fokus kepada ahli parlimen di seluruh negara.

Tambahnya, keengganan pegawai kerajaan mengisytiharkan harta menyebabkan mereka sukar naik pangkat.