LIMBANG: Bermula secara suka-suka untuk kegunaan sendiri setelah melihat daripada kawan-kawan yang menternak kelulut madu, Rais Barambun kini menjadi antara pengusaha perniagaan madu kelulut di sini.

Lebih mesra dengan panggilan Rais, 54, tetap menyimpan impian besar untuk berjaya dalam bidang perniagaan madu kelulut yang diceburinya itu satu hari nanti.

Meskipun masih berkhidmat sebagai Pembantu Operasi di SK Nanga Merit, Rais kini muncul antara perintis kepada perniagaan tersebut dan kelulut madu mula mendapat tempat di hati masyarakat setempat.

Dalam kesibukan bekerja serta menguruskan keluarga, beliau turut meluangkan masanya setiap petang dan hujung minggu melawati ladang kelulut miliknya.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pepatah tersebut cukup mengambarkan kegigihan anak jati Limbang ini untuk terus memajukan perniagaannya.

Pemandangan Ladang Sri Madang dari pintu masuk.

“Saya mula dengan hanya bermodalkan RM530 sahaja. Kini, saya berjaya membuka ladang milik sendiri dengan dibantu oleh ahli keluarga dan sahabat.

“Tidak lama lagi saya akan membuka ladang ternakan baru di kawasan lain,” katanya semasa ditemui Suara Sarawak, semalam.

Menurut Rais, buat masa ini, pendapatan diperolehi hasil dari menjual madu kelulut lebih dari RM2,000 sebulan.

Bagi pelanggan yang pernah merasai sendiri keenakan madu kelulut serta khasiat yang terkandung di dalamnya, sudah pasti akan menggunakannya sebagai makanan tambahan harian.

Ladang ternakan yang diberi nama Sri Madang berkeluasan kira-kira setengah ekar itu menempatkan empat jenis kelulut iaitu Kelulut Itama, Kelulut Colina, Kelulut Tiger dan Kelulut Iterminata.

“Kelulut Itama paling mendapat permintaan dari pelanggan disebabkan oleh khasiatnya serta tempoh matangnya juga lebih singkat,” ujarnya.

Ladang tersebut terletak tidak jauh dari rumah kediamannya bagi memudahkan membuat lawatan lebih kerap kerana penjagaan rapi penting bagi memastikan kualiti madu dikekalkan.

“Saya akan memastikan ternakan kelulut terhindar dari sebarang serangga perosak serta virus yang boleh mengganggu kualiti madu.

Keadaan di dalam ladang Sri Madang.

“Ini untuk memastikan kualiti madu dikeluarkan nanti berada pada tahap terbaik dan madu yang tercemar tidak akan dijual kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu, Rais berkata, tempoh tuaian perlu dilakukan setelah ia benar-benar matang kerana khasiat madu tersebut akan berkurang jika dituai sebelum tempoh matang atau kurang dari empat minggu.

Apa yang unik mengenai madu kelulut ini adalah khasiatnya yang lebih tinggi dari madu lebah. Lebih menarik apabila rasanya berbeza-beza mengikut musim debunga serta debunga yang berada berdekatan sarang.

“Rasa madu boleh bertukar rasa dari semasa ke semasa. Apbila musim debunga itu manis ia akan menjadi manis manakala apabila debunga itu ada bunga asam ianya akan menjadi masam.

Rais menerima kunjungan pelanggan dari luar kawasan Limbang.

“Paling bagus jika ada tanaman herba ia akan menjadi madu herba berkhasiat tinggi di mana mampu menyembuhkan pelbagai penyakit,” kata Rais.

Menjelas lanjut, buat masa ini pasarannya hanya menumpukan kepada pasaran tempatan di mana beliau memasarkannya di kedai-kedai di Limbang serta membuat promosi di pesta-pesta keramaian.

Namun terdapat juga pelanggan-pelanggan tetap dari Negara jiran iaitu negara Brunei serta Lawas yang datang terus ke ladangnya untuk mendapatkan bekalan madu.

Kata Rais, masyarakat Limbang khususnya golongan belia perlu menceburi bidang menternak kelulut ini kerana potensinya yang besar di masa hadapan.

Menurutnya, pihak kerajaan perlu mengetengahkan bidang ini dengan melaksanakan pelbagai program serta kursus serta bantuan kepada mereka yang baru hendak menceburinya.

“Program seperti kursus dan bantuan modal permulaan penting dalam membantu mengembangkan perniagaan dan keazaman membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat,”ujarnya.

Beliau juga mengimpikan untuk membuka lebih luas ladang kelulut pada masa hadapan.

Rais semasa memasarkan produk madunya di Pesta Medamit baru-baru ini.