KUCHING: Buat pertama kalinya usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini (4 Julai).

Jadi sudah pasti usaha meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan itu, merupakan langkah besar diambil kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi, berikutan golongan muda dilihat boleh menjadi antara king maker dalam menentukan mandat mentadbir negara setiap kali pilihan raya umum.

Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng berpandangan, sejajar dengan trend antarabangsa sedunia yang rata-ratanya menetapkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, langkah diambil kerajaan itu sebenarnya amat bersesuaian dan tepat.

“Sekiranya pada usia 18 tahun mereka boleh sertai parti politik, berkahwin, dapatkan lesen memandu, memohon pinjaman dan terikat dengan kontrak, jadi mengapa mereka tidak boleh mengundi?,” katanya kepada Bernama semalam.

Ooi berpendapat, dalam dunia globalisasi dan maklumat di hujung jari, usia 18 tahun pada zaman ini, berbeza dengan usia 18 tahun berpuluh tahun lalu yang hanya bergantung untuk mendapatkan maklumat dari surat khabar, buku, atau media digital lain.

“Mereka akan belajar jadi matang politik dengan cepat, kebimbangan itu boleh diatasi dengan cara pendidikan kewarganegaraan dan kenegaraan,” katanya.

Penganalisis Politik Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula menjelaskan langkah itu akan membolehkan golongan muda melihat hak mereka untuk mengundi diiktiraf dari awal, sekali gus boleh mencambah pembabitan mereka dalam politik selain menampilkan keupayaan kepimpinan.

“Selepas ini anak muda perlu mengetahui bagaimana mereka memerihalkan kepentingan pilihan raya umum, peri penting pembabitan dan pembuatan keputusan secara rasional, mereka juga perlu pastikan peranan besar tanggungjawab itu dilaksanakan secara bermoral dan berhemah,” katanya.

Bagi mereka yang mahu usia 21 tahun dikekalkan, mereka sudah pasti mempunyai alasan tersendiri, antara lain menganggap usia 18 tahun sebagai masih mentah dan tidak matang dalam berpolitik.

Pakar Psikologi Prof Dr Mariani Md Nor berkata mereka yang berusia 18 tahun ke atas iaitu di fasa pascaformal, selain boleh membuat keputusan kritikal, sebenarnya boleh berfikir lebih jauh terutama dalam hal membabitkan kesinambungan hidup untuk bangsa, agama dan negara, namun bergantung kepada persekitaran.

Dari perspektif syariah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat bahawa umur 18 tahun amat sesuai untuk dijadikan sebagai had layak untuk mengundi, kerana sudah mencapai usia mukallaf dan akil baligh.

“Dengan suasana masyarakat Malaysia yang cukup terbuka dewasa ini dengan perkembangan maklumat dan teknologi tinggi, maka pemuda yang sudah diberi sejumlah maklumat dan pengetahuan adalah berkelayakan untuk menjadi pemilih dalam plilihan raya,” katanya.

Apapun yang pasti, sekiranya usul itu diluluskan, ia tentunya membuka suatu lembaran baharu terhadap sejarah politik dan sistem demokrasi di negara ini sejak berdekad yang lalu, selain mengangkat permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira parti politik.