Satu daripada etnik yang pupus di Sarawak ialah orang Pegu.

Kebanyakan rakyat di negeri ini, tidak pernah mendengar etnik berkenaan.

Yang pasti, Pegu hanya tinggal di atas kertas sebagai etnik yang pernah wujud di Sarawak.

Dikatakan terdapat rakyat Saribas dan Samarahan mempunyai darah Pegu.

Orang Pegu sebenarnya berasal dari hulu Sadong dan berhijrah ke Santubong.

Charles Grant dipetik oleh Roth (1980) yang berpeluang mengunjungi kawasan Samarahan pada akhir abad ke-19 menjelaskan orang Melayu Samarahan terdiri daripada keturunan Pegu.

Ternyata, orang Pegu juga “masuk Melayu” apabila mereka memeluk agama Islam.

Sebagai satu kaum, Pegu sudah lenyap daripada demografi Sarawak ekoran proses asimilasi sesudah mereka memeluk agama Islam.

Hal ini sekali gus membayangkan betapa kuatnya pengaruh agama Islam dan budaya Melayu sehingga melenyapkan identiti asal mereka.

Proses asimilasi berlaku apabila kumpulan minoriti atau kumpulan etnik yang baru mengamalkan budaya dan identiti kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya.

Asimilasi mutlak atau sempurna dalam kalangan kaum Pegu menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti sehingga kemudiannya mereka menjadi Melayu.

Pada awal abad ke-15, Kesultanan Brunei diterajui oleh Sultan Bolkiah menjadi begitu kuat dan berpengaruh di Borneo.

Pada masa pemerintahan baginda, banyak suku kaum lain seperti Melanau, Kedayan dan Dayak turut menganut agama Islam.

Mereka bukan sahaja menganut agama itu, tetapi mengamalkan akomodasi, asimilasi dan amalgamasi dari segi sosiobudaya.

Mereka mengakui sebagai Melayu selepas menganut agama Islam.

Islam menjadi daya penarik yang kuat dan meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan puak asli di kawasan pantai yang sebelumnya berpegang kepada kepercayaan tradisional.

Hujah atau pegangan sedemikian umpamanya dikemukakan oleh Harrisson (1970) yang percaya dan menjelaskan bahawa “Melayu ialah orang Dayak yang masuk Islam”.

Mengikut catatan pihak Belanda, lama sebelum pemerintahan Belanda, kebanyakan Iban di kawasan Kapuas “masuk Melayu” dengan memeluk agama Islam, atau dipengaruhi oleh budaya Melayu.

Interaksi pedagang Melayu yang beragama Islam, beberapa suku kaum di pedalaman Sarawak memeluk agama Islam, dan menggelarkan diri mereka sebagai Melayu.

Kecenderungan kelompok bukan Melayu untuk menganut agama Islam ketika itu disebabkan agama dan kebudayaannya yang tinggi, sehingga menjadi daya penarik yang kuat.

Ia meninggalkan kesan dan pengaruh kuat dalam kalangan puak asli atau kaum peribumi yang tidak beragama di kawasan pantai.

Orang Seru merupakan kaum yang lemah dan sering menjadi mangsa kegiatan ngayau atau potong kepala.

Kedatangan orang Melayu memungkinkan mereka mendapat perlindungan.

Ekoran itu, ramai wanita Seru mengahwini orang Melayu dan akhirnya seluruh kaum itu menganut agama Islam.

Hal yang sama juga berlaku terhadap kaum Bliun di Rejang dan Miri di Baram.

Orang Kedayan di Sibuti dan Limbang-Lawas turut memilih untuk masuk Melayu atau menganut agama Islam.

Malah, mereka merupakan antara orang terawal di utara Borneo yang menerima Islam walaupun hakikatnya mereka masih menggelar diri mereka Kedayan dan mempunyai jati diri yang jelas.