Agak melucukan apabila Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen menyebut bahawa projek LRT atau Aliran Transit Ringan yang bakal diteruskan di negeri ini sebagai satu pembaziran. Malah beliau menyebut secara jelas, bahawa projek ini adalah hot air dan bakal berakhir dengan kerugian.

Tindakan Chieng Jen itu sebenarnya untuk menjustifikasikan dakwaan ketuanya, Lim Guan Eng bahawa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berbelanja boros, hingga RM11 bilion setahun untuk pembangunan. Dan secara matematik mudahnya, ia akan menjuruskan negeri ini ke kancah muflis.

Yang jelas, Chieng Jen sebenarnya takut. Takut bahawa apabila projek LRT yang sebelum ini diperkecilnya siap dan berfungsi, PH atau lebih tepat DAP akan kehilangan modal.

Chong Chieng Jen

Tidak ada ruang lagi untuk membelasah Kerajaan GPS. Apabila sektor laluan Kota Samarahan-Kuching siap sepenuhnya kelak dan berfungsi dengan baik, maka sektor-sektor lain akan dimulakan pembinaan.

Merangkaikan perhubungan di segenap pelosok negeri ini, terutama di bandar-bandar besarnya bermakna pembangunan terus menjalar dengan sendirinya.

Tidak “Cincai”

Abang Jo jelas tidak ‘cincai’ dalam melaksanakan perancangannya. Setiap tanah yang diguna, setiap laluan yang dipilih telah dikaji. Malah kumpulan yang terlibat dalam merencanakan laluan LRT ini melaksanakan kajian dan rundingan yang begitu mendalam, termasuk dalam urusan pengambilan tanah dan yang paling penting, menyuraikan kesesakan jalan pada masa depan.

Lebih menarik, kumpulan yang sama turut merancang dengan teliti akan impak daripada pembangunan stesen dan laluan yang digunakan, yang dilihat membawa kepada kewujudan bandar-bandar baharu di pinggiran bandar. Ia sekali gus menyuraikan kepadatan penduduk di satu-satu tempat.

Justeru itu, pemilihan kota ilmu, Kota Samarahan sebagai sektor pertama projek ini amat penting dan dialu-alukan. Di Samarahan, terdapat kepadatan yang tinggi, terutama dari segi pelajar institusi pengajian tinggi.

Difahamkan terdapat lebih 20,000 populasi pelajar yang menghuni di sana, dengan kebanyakannya di Unimas dan UiTM yang memiliki dua kampus.

Justeru, penggunaan LRT bukan sahaja dapat menangani isu pengangkutan awam, malah menyelesaikan masalah kesesakan jalan, terutama pada waktu puncak. Harus diingat pada setiap awal pagi dan petang, serta pada Jumaat, keadaan kesesakan di kawasan ini antara yang paling teruk di Sarawak.

Kos Efektif

Justeru, apalah nilai RM5 bilion untuk projek ini, jika tekanan bertahun-tahun dapat ditangani sekelip mata. Lebih menarik, jumlah ini cukup kos efektif berbanding membangunkan dua atau tiga jejambat di kawasan ini, yang belum pasti dapat meleraikan kesesakan.

Selepas kejayaan laluan ini, pasti kita mengalu-alukan cadangan asal projek ini iaitu melibatkan dua lagi laluan sektor iaitu Serian ke Senari dan Laluan Penyuraian Kota.

Secara keseluruhannya projek ini seharusnya menelan kos sekitar RM10.8 bilion, sejauh 155 kilometer dan dijadualkan siap pada 2024.

Sebagai rakyat Sarawak, kita sebelum ini bercakap lama tentang keperluan untuk membina lebuh raya berkualiti tinggi seperti Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung. Dan kini kita mendapat Lebuh Raya Pan Borneo yang siap tidak lama lagi. Kita juga bercakap tentang perlunya kita mengubah sistem pengangkutan awam kita, yang suatu hari kelak pasti tidak dapat menolak kewujdan LRT.

Dan kini kita mendapat projek ini, yang dibiayai 100 peratus oleh Kerajaan Negeri. Justeru kenapa pula kita bertindak menolaknya, hanya kerana untuk memenuhi emosi dan nafsu politik segelintir kecil ahli politik.

Untuk rekod, di Semenanjung Malaysia, Projek LRT3 dilaksanakan dengan kos RM16.63 bilion melibatkan laluan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang dan siap pada 2024. Laluan ini sejauh 37.6 kilometer melibatkan 20 stesen dan 22 set tren tiga gerabak.

Pada masa yang sama, projk MRT2 juga diteruskan dengan kos dianggarkan melonjak kepada RM56.93 bilion.

Membebankan

Dengan fakta yang dihidang ini, kos LRT mana yang lebih mahal? Dan yang mana lebih membebankan? Sarawak melaksanakan projek ini tepat pada masanya ketika keadaan kawasan belum lagi sesak dan harga tanah masih dapat dikompromi. Malah ia tidak terlalu menjejaskan keadaan trafik, kerana tidak perlu memasak banyak tiang dan mengalihkan banyak bangunan.

Difahamkan kebanyakan tanah yang akan dilalui adalah milik Kerajaan Negeri, dan rel dipasang di atas permukaan tanah – ini menjimatkan kos, dan merendahkan risiko.

Justeru adalah masa yang sesuai untuk Kerajaan Negeri menjayakan perancangan ini.

Kewujudan LRT bukan sahaja akan membawa kesuburan ekonomi, kerana lebih banyak peluang pekerjaan dan bidang kemahiran akan diwujudkan.

Lebih penting, ia juga akan mewujudkan keadaan mesra alam kerana kurangnya pencemaran kenderaan, selain penjanaan enjin LRT itu sendiri, berasaskan kuasa hidrogen.

Kepada rakyat Sarawak, usah dipertikaikan lagi keputusan ini, dan sokonglah agar negeri ini tidak lagi ketinggalan. Ia langkah pertama ke arah pelaksanaan pengangkutan awam berkualiti dan murah di negeri ini.

Pemimpin Persekutuan dan pemimpin pembangkang pula usah melalak, kerana yang sebaiknya mereka menyokong menyuntik dana, kerana projek ini adalah untuk rakyat.

 

Kredit gambar utama: Paultan.org