MIRI: Kegiatan seorang penganggur mengedar dadah di pusat-pusat hiburan di sini terbongkar selepas dia ditahan polis di kawasan letak kereta berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Marina 3.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Sahar Abd Latif berkata tangkapan terhadap suspek dibuat oleh pasukan JSJN Sarawak dalam operasi sulit yang dijalankan pada lebih kurang jam 6.30 petang semalam.

Katanya hasil pemeriksaan dalam kenderaan yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu menjumpai satu paket berisi 10 biji pil ekstasi seberat 3.55 gram dan tujuh paket dadah jenis ketamin seberat 7.25 gram, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,050.

Bagaimanapun, katanya saringan air kencing ke atas suspek yang sudah berkahwin mendapatinya negatif dadah.

“Suspek dipercayai mula menjalankan aktiviti pengedaran dadah pada pertengahan tahun 2018 di pusat-pusat hiburan sekitar bandaraya Miri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata suspek yang berasal dari Bintulu kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Beliau menambah dia yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau kini dalam proses permohonan reman.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.