KUCHING: Hak mengundi dalam pilihan raya ialah perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan badan yang mengendalikan pilihan raya dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap “warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihan raya itu bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri”.

Namun, wajarkah kelayakan umur diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun untuk layak mengundi?

Menurut Sharmaine Mirna Mohd Suffian, 25, kelayakan mengundi pada umur 18 tahun sangat tidak wajar.

“Pada pendapat saya, remaja pada usia 18 tahun belum mampu untuk berfikir dengan matang terutamanya dalam bidang politik.

“Mereka juga tidak mempunyai pengalaman dan ilmu yang meluas tentang politik.

MUHAMMAD ‘IZZUDDIN ABDUL WAHID

“Bahkan, kebanyakan generasi muda kini tidak berminat dengan politik dan sangat mudah terpengaruh pada berita politik,” ujarnya.

Dia sangat tidak bersetuju jika remaja umur 18 tahun mula mengundi kerana mereka berkemungkinan hanya mengundi berdasarkan undian majoriti ataupun terpengaruh oleh warga dewasa lain.

Bagi Muhammad ‘Izzuddin Abdul Wahid, 23, tidak wajar bagi remaja berumur 18 tahun mula mengundi.

“Remaja yang berumur 18 tahun belum layak mengundi kerana kebanyakan mereka belum matang untuk membuat perbandingan pihak manakah yang terbaik demi masa hadapan Malaysia,” katanya.

Tambahan ujarnya, mereka sangat mudah terpengaruh dengan persekitaran kerana kebanyakan mereka belum memikul tanggungjawab berat seperti orang lebih dewasa.

“Jika diberi pendedahan awal tentang isu semasa dan politik kepada remaja, mungkin hal ini boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Selain itu ujarnya, masyarakat akan lebih terbuka membincangkan isu semasa dan perkara yang lebih mendalam tentang perihal politik kepada remaja.

MOHAMMAD BENFADZLYN MOHD BENJAMIN

“Sistem pendidikan juga memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan mengenai politik dan isu semasa agar kita tidak menjadi buta kepada dunia nyata,” katanya.

Izzuddin menyatakan tidak setuju bahawa remaja 18 tahun mula mengundi kerana mereka kurang pendedahan mengenai politik dan kemaslahatan negara. Namun, tidak semua menyatakan tidak wajar untuk remaja bawah 18 tahun mengundi.

Menurut Nurul Hidayah Brahim, 26, kelayakan remaja mengundi pada umur 18 tahun adalah wajar.

“Saya sangat setuju remaja umur 18 tahun mula mengundi kerana remaja hari ini sudah bijak memilih dan berani menyuarakan pendapat mereka,” katanya.

Mohammad Benfadzlyn Mohd Benjamin, 27, juga mempunyai pendirian sama.

“Hal ini kerana, majoriti populasi adalah daripada generasi Y yang masih belum mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai kuasa menentukan masa hadapan.

“Pemuda zaman kini kebanyakan tidak mahu melibatkan diri dengan dunia politik, tetapi jika diberikan peluang, mereka mampu menyuarakan pendapat dan hak mereka.

“Sampai bila hendak mengharapkan warga dewasa atau lebih tepat, orang tua untuk mengundi? Padahal mereka sendiri mampu menentukan masa hadapan mereka demi kesejahteraan ramai,” katanya.