KUCHING: Usul pengisytiharan harta di peringkat parlimen boleh disokong sekiranya bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan dalam kalangan ahli kabinet.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol berkata, usul itu boleh dilaksana kerana ianya tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang atau regulasi yang ada di negara ini.

“Kalau untuk tujuan transparency, apa salahnya? Tetapi janganlah digunakan untuk tujuan berpolitik.

“Kalau itu digunakan untuk tujuan berpolitik atau ada agenda tertentu, maka inisiatif itu tidak jujur.

Beliau juga menambah, Sarawak merupakan negeri pertama untuk memperkenalkan ikrar integriti diperkenal oleh bekas ketua menteri, Allahyarham Adenan Satem.

“Amalan seperti ini diperkuatkan lagi di bawah pimpinan Ketua Menteri sedia ada. Semasa mempengerusikan sidang kabinet yang pertama, Abang Johari membuat kejutan kepada ahli kabinet dengan mengarahkan semua orang untuk menandatangani ikrar bebas rasuah sambil disaksikan oleh menteri dan Pengarah SPRM pada ketika itu,” katanya.

Selain itu, Sarawak juga satu-satunya negeri menempatkan pegawai integriti diperakui dilantik sendiri oleh pihak SPRM.

Tambah Abdullah, ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa peringkat pentadbiran negeri Sarawak.

Selain itu, Abdullah juga meluahkan kerisauan beliau berkenaan permainan politik semakin kasar dan jijik serta menentang mana-mana unsur perpecahan dibawa masuk ke Sarawak.

Hal ini kerana pengamal politik biasanya melakukan kesilapan dengan menggunakan platform politik untuk meraih populariti, pangkat dan sebagainya.

“Politik tidak kotor. Dari dulu lagi, politik telah menjadi pemangkin kepada ketamadunan.

“Unsur fitnah, perkauman, kebencian, hasutan, pembohongan yang melampau tidak seharusnya mengambil tempat di Sarawak… itu sangat penting,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Gawai Raya 2019 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Turut hadir Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Awam Datuk Norhayati Mohd Ismail dan Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Sarawak Datuk Takun Sugah.

Majlis berkenaan julung kali diadakan bersama-sama pengamal media di Kuching bagi mengeratkan hubungan baik antara Ukas dan pengamal media di Kuching serta mempertingkat kerjasama pada masa yang akan datang.

Ditubuhkan pada Ogos 2018, UKAS merupakan sebuah unit dibawah Jabatan Ketua Menteri dan bertanggungjawab merancang, mengurus, membimbing, mengawasi, memberi nasihat dan memantau semua aktiviti yang berkait rapat dengan bidang komunikasi awam negeri ini dan ringkasnya merupakan titik tumpuan untuk aktiviti komunikasi di Sarawak.