Desakan supaya Sarawak keluar dari Malaysia bukan perkara baharu didengari, sebaliknya sudah banyak kali disuarakan sesetengah pihak atau individu.

Ia sama ada didorong oleh sentimen, emosi, kehendak atau sebagainya bahkan ada yang bermotifkan agenda politik untuk meraih sokongan pengundi.

Misalnya baru-baru ini, timbul lagi kenyataan yang mencadangkan agar satu referendum diadakan berkaitan masa depan Sarawak dalam Malaysia jika rundingan dengan Putrajaya berhubung perkongsian setaraf dalam Persekutuan tiada penyudahnya.

Idea untuk membawa keluar Sarawak dari Malaysia itu turut dipersetujui “Movement for Change” di Sarawak, dengan alasan generasi Sarawak hari ini tidak membuat keputusan pada 1963 untuk menyertai pihak lain bagi membentuk Malaysia.

Secara demokratiknya tiada apa yang salah kerana ia adalah hak mana-mana pihak untuk bersuara.

Cuma yang perlu diambil kira dalam apa juga keputusan dan tindakan yang bakal diambil, semua pihak perlu melihat semula roh dan semangat perjuangan oleh pemimpin dan rakyat Sarawak yang terdahulu.

Ia harus diiringi dengan kefahaman sejarah yang mendalam serta berpaksikan fakta dan penilaian yang jitu.

Pandangan Jauh

Tidak cukup dengan kebijaksanaan untuk menyertai Malaya, pemimpin Sarawak terdahulu juga amat bijak dan berwaspada dengan hak rakyat Sarawak apabila meletakkan pelbagai syarat dan peraturan yang eksklusif antara lainnya hak imigresen dan lain-lain yang difikirkan perlu dijaga dan dilindungi.

Dengan kata lain, kita harus akui pemimpin Sarawak terdahulu sudah lebih berpandangan jauh dalam melindungi hak dan kebajikan Sarawak dan bukannya mengambil keputusan untuk menyertai Malaya secara membuta tuli.

Bagi penganalisis politik Dr Nadrawina Isnin, beliau berpandangan Sarawak bakal berdepan ancaman sekiranya bertindak keluar dari Malaysia.

Katanya paling membimbangkan ialah dari segi keselamatan iaitu adakah Sarawak mempunyai cukup peralatan canggih atau anggota keselamatan untuk mempertahankan Bumi Kenyalang.

Oleh sebab itu, beliau berpendapat lebih baik sekiranya Sarawak kekal dalam Malaysia.

“Jangan jadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai alasan untuk berpisah dari Malaysia.

“Perlu kita fikirkan sempadan Sarawak adalah antara Sabah dan Kalimantan dan lebih jelas ialah keselamatan sempadan. Ini harus difikirkan,” katanya.

Jika dilihat daripada konteks yang lebih terbuka dan positif, setelah 56 tahun bersama, banyak pencapaian dan kemakmuran yang dicapai Sarawak dalam Malaysia.

Walaupun diakui masih ada isu yang perlukan kajian, perhatian dan pertimbangan semula serta kesaksamaan dan keadilan yang perlu dikembalikan, namun tiada kelihatan isu yang terlalu kronik sehinggakan terpaksa memilih jalan keluar untuk meninggalkan Malaysia.

Perikemanusiaan

Lainlah sekiranya Sarawak dan rakyatnya dizalimi dan ditindas tanpa perikemanusiaan dan tiada langsung kesaksamaan dan keadilan yang sepatutnya diletak hak sewajarnya.

Dari kaca mata Profesor Mohd Fadzil Abd Rahman pula, banyak implikasi yang mungkin berlaku jika hasrat keluar Malaysia ini benar-benar berlaku.

“Mudah untuk kemukakan referendum atau kenyataan untuk keluar Malaysia sebagai manifestasi kepada rasa marah dan kurang senang dengan keadaan semasa yang dilihat tidak memihak kepada Sarawak.

“Namun jangan lupa, pertikaian domestik mengenai hak mungkin bertumpu dan beralih arah pula kepada isu pecahan etnik dan kaum. “Malah perebutan kuasa dan polemik politik domestik serta kestabilan ekonomi, pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan kesihatan serta lain-lain pula menyusul dalam membina negara yang berasal dari sebuah negeri,” kata penganalisis politik itu.

Tanpa Jemu

Bagi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini, sebaiknya tumpuan perlu dilipat gandakan secara komprehensif dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diasak tanpa putus asa terhadap perjuangan mengembalikan hak seperti yang dilakukan waktu ini.

“Rasanya tindakan sebegini jauh lebih baik dan amat bijak daripada memilih jalan ekstrem untuk keluar dari Malaysia,” katanya.

Bak kata Allahyarham Tok Nan, “kita hanya tuntut apa yang telah termaktub. Soal Sarawak untuk keluar dari Malaysia tidak timbul dan tak akan berlaku”.

Kata beliau lagi jangan lupa kepada sumbangan anggota polis dan askar dari Semenanjung yang turut berperang dan terkorban malah dikuburkan di sini bersama rakyat Sarawak dalam mempertahankan negeri ini dari ancaman Komunis.

Akhirnya, bak kata pepatah “jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.