KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan disaran menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Sandakan, Kuala Lumpur-Tawau dan Johor Bahru-Sibu untuk mengurangkan harga tambang pada musim perayaan akan datang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata laluan berkenaan menunjukkan peningkatan harga tiket semasa musim perayaan Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Aidilfitri tahun ini berbanding musim perayaan tahun lepas.

Menurutnya, laluan Kuala Lumpur-Tawau mencatat purata kenaikan tambang 57.6 peratus, Kuala Lumpur-Sandakan (10.48 peratus) dan Johor Bahru-Sibu (21.78 peratus).

“Ini berlaku disebabkan faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan yang disediakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu keberkesanan langkah memperkenal penerbangan tambahan ke arah menurunkan tambang udara domestik semasa musim perayaan.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata langkah itu berjaya mengurangkan kenaikan harga tiket bagi laluan lain.

Menurutnya, harga tiket bagi tujuh daripada 10 laluan yang dipantau Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) secara purata telah menurun antara 12.7 peratus sehingga 74.9 peratus berbanding tempoh perayaan yang sama tahun 2018.

“Kerajaan juga akan terus memantau harga tiket dan sekiranya terdapat unsur manipulasi harga atau penetapan harga oleh syarikat penerbangan yang melampau, maka kementerian melalui Mavcom akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merancang memperkenal perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) di sektor pantai timur pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata perancangan itu mengambil kira penerimaan keseluruhan 13 set tren DMU baharu secara berperingkat mulai bulan ini hingga Disember.

“Ia juga mengambil kira tempoh masa bagi melaksanakan proses pengujian dan pentauliahan sebelum 13 set DMU baharu ini boleh dibenarkan beroperasi,” katanya menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai perkara itu.