SIMUNJAN: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tuba Payakon Golong berharap agar sekolah tersebut mendapat keputusan UPSR 100 peratus tahun ini.

“Tahun lepas sekolah kami mendapat 88.88 peratus murid lulus UPSR dan untuk UPSR tahun ini kami berharap agar 100 peratus murid akan lulus.

“Saya juga berharap motivasi yang diberikan kepada pelajar dapat menjadi suntikan semangat dan rangsangan kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh demi mendapatkan keputusan yang cermelang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Motivasi UPSR yang diadakan di Dewan Sri Gemilang SK Tuba Simunjan, pada 4 Julai lalu.

Program Motivasi UPSR tersebut adalah bagi memberikan persediaan mental kepada murid Tahun Enam yang bakal menempuh ujian terbabit tidak lama lagi.

Program yang disumbangkan oleh Yayasan Sarawak ini disertai oleh lapan orang murid.

Pada penghujung program berkenaan, murid yang menyertai program diberi sijil penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Payakon. Program tersebut juga disertai oleh sepuluh guru dari sekolah berkenaan.

Pada masa yang sama juga, pada 5 Julai sekolah berkenaan melangsungkan Hari Terbuka dan Permuafakatan bersama Ibu Bapa SK Tuba telah berjaya mengeratkan hubungan ibu bapa murid dan guru sekolah tersebut.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK Hem) SK Tuba Cikgu Kukin Datat memberitahu aktiviti tersebut diadakan untuk ibu bapa pelajar mengetahui perkembangan akedemik anak mereka.

“Ibu bapa patut sedar tanggungjawab sereta memberi fokus kepada kehadiran anak mereka ke sekolah.

“Jika anak anda sekalian selalu tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah, perkara ini boleh menurunkan prestasi akedemik anak anda,” katanya.

Sehubungan itu, dia juga menyatakan bahawa melalui program tersebut, ibu bapa boleh mengetahui prestasi perkembangan anak mereka dari guru kelas anak mereka sendiri.

Pengisian dalam program berkenaan, ibu bapa yang mempunyai anak pada Tahap Satu diberikan Pentaksiran Dalam Kelas manakala bagi pelajar Tahap Dua diberikan keputusan ujian penggal pertama Mei lalu.

Ibu bapa dan pelajar yang hadir Hari Terbuka dan Permuafakatan bersama Ibu Bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Tuba.