SRI AMAN: Jangan tularkan berita tidak sahih tanpa mengetahui punca sebenar kerana perkara itu boleh menimbulkan pelbagai konflik, tegas Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

“Kepada semua masyarakat, jangan menularkan berita tidak sahih atau tidak diketahui punca di media sosial. Perkara ini boleh menimbulkan konflik.

“Jika digunakan dengan baik, perkhidmatan atas talian ini boleh mengembangkan peluang perniagaan, sekali gus menjana pendapatan,” katanya pada Majlis Penutupan Staying Safe Online Campaign 2019 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Jelasnya, program itu dapat memberi garis panduan kepada pengguna agar tidak terjebak ke dalam jenayah manipulasi siber.

“Pengguna yang terpedaya dengan sindiket menerusi jenayah siber ini boleh menghadapi kesan buruk misalnya kes Love Scam, Macau Scam dan penipuan pekerjaan yang boleh menjurus kepada pemerdagangan orang.

“Penggunaan internet dan perkhidmatan atas talian ini banyak memberi ruang kepada unsur negatif terutama daripada individu yang cuba mengambil kesempatan untuk menipu dengan pelbagai cara,” katanya.