Kadar literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia mencapai lebih 80 peratus daripada jumlah penduduk 31.83 juta. Dalam Laporan Digital 2019 yang dikeluarkan oleh Hootsuit and We Are Social, menunjukkan peningkatan sebanyak 9 peratus daripada jumlah pengguna internet di negara ini.

Peningkatan ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia pada kedudukan kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam kadar penembusan media sosial.

Data yang dikemukakan di atas turut disokong oleh kajian pengguna internet di Malaysia, yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2018, yang turut menunjukkan peningkatan dari 25.5 juta pada 2016 kepada 28.7 juta pengguna internet pada 2018.

Daripada jumlah tersebut, aplikasi sosial Facebook dan WhatsApp mencatatkan jumlah tertinggi berbanding aplikasi lain seperti Instagram, YouTube dan sebagainya.

Hal ini secara tidak langsung jelas membuktikan rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang sangat terbuka terhadap perkembangan internet dan media sosial.

Jaringan Sosial

Selain menjadikan internet sebagai jaringan sosial, rakyat Malaysia juga aktif dalam aktiviti kewangan dan perbankan dalam talian. Antara aktiviti yang kerap dilakukan ialah menyemak penyata kewangan, melakukan pemindahan wang serta membuat pembayaran bil, pinjaman dan kad kredit.

Buktinya, hampir 55 peratus pengguna internet di negara ini menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian bagi urusan kewangan mereka.

Walaupun internet menjadi keperluan dalam kehidupan rakyat Malaysia, namun terdapat beberapa isu besar yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan terhadap media baharu ini. Antaranya, penyalahgunaan platform media sosial untuk menyebarkan berita palsu, fitnah, hasutan, penipuan serta jenayah siber lain.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana rakyat Malaysia sangat gemar menularkan sesuatu berita atau maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kepada pengguna media sosial yang lain.

Perkara ini jika dibiarkan berlarutan tanpa kawalan, boleh mengundang fitnah yang maha besar, perpecahan masyarakat, haluan yang menyesatkan serta kerosakan akhlak jika kandungan tular itu lebih ke arah negatif.

Di samping itu, media sosial dan internet sering kali digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sebagai tempat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, majikan, jiran, keluarga dan pasangan.

Kesan Terhadap pengguna

Jika sebelum ini semua pandangan dan komen yang pasti sama sekali tidak dibenarkan diterbitkan pada media cetak, kini boleh diungkapkan secara atas talian dengan cepat, mudah dan murah.

Justeru, tidak hairan mengapa terlalu mudah sesuatu pandangan dan pendapat dilontarkan di media sosial tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna internet lain.

Di samping itu, kewujudan ‘facebook page’ yang berbaur hasutan, kini semakin galak menyebarkan agenda sempit dan tidak berasas, sehingga menyebabkan pengguna internet keliru dan terpengaruh.

Buktinya, pada tahun ini sahaja terdapat banyak kes disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Agama dan kaum.

Perkara ini jika tidak dibendung dengan segera, boleh menjadi bom jangka yang berupaya memusnahkan perpaduan kaum yang ada di negara ini.

Sehubungan itu, Malaysia wajar mencontohi Indonesia dalam mengawal penggunaan media sosial agar tidak disalah guna.

Tindakan menyekat penggunaan Facebook dan WhatsApp pada Mei lepas, berjaya meredakan rusuhan yang berlaku di negara kepulauan terbesar dunia itu akibat bantahan segelintir rakyatnya terhadap keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019).

Sasaran Sindiket

Di samping itu, pengguna internet di Malaysia juga sering menjadi sasaran sindiket penipuan internet. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert), sebanyak 10,699 kes jenayah siber dicatatkan tahun lalu dan jumlah tersebut meningkat 25.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, 7,962 kes.

Kes tertinggi melibatkan penipuan dalam talian atau scam yang modus operandinya menggunakan e-mel, WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter untuk memperdayakan mangsa.

Dalam hal ini, pengguna internet harus peka dan waspada terhadap kenalan internet yang tidak dikenali agar tidak mudah terjerat dan tertipu.

Sehubungan itu, dalam kepesatan teknologi maklumat tanpa sempadan, pengguna internet dan media sosial seharusnya bijak mengurus maklumat yang diterima. Selidiki terlebih dahulu sebelum dikongsikan kepada yang lain.

Dalam urusan perbankan dalam talian, pastikan segala maklumat peribadi dan kewangan anda selamat daripada penjenayah siber.

• Dilah Tuah ialah Timbalan Dekan dan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.