KUCHING: Putus asa. Itu punca individu nekad untuk membunuh diri.

Menurut Menteri Kebajikan Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, individu yang ingin membunuh diri cenderung berasa keseorangan dan beranggapan, tiada siapa dapat membantu mereka menyelesaikan masalah.

“Disebabkan perkara tersebut, mereka mengambil jalan mudah dengan membunuh diri,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat seorang klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Lorong

Greenwood di sini semalam. Menurutnya, terdapat pelbagai advokasi disediakan Jabatan Kabajikan Masyarakat dan pihak badan bukan nerajaan (NGO) untuk menangani isu ini.

“NGO di seluruh dunia juga menyediakan perkhidmatan hotline yang dinamakan Befriender bagi membantu mereka yang terniat untuk membunuh diri dalam memberikan sokongan emosi.

“Saya difahamkan, jumlah penggilan yang diterima mereka semakin meningkat dan ini menunjukkan masyarakat yang berhadapan masalah ini juga semakin meningkat,” jelasnya.

Katanya, terdapat banyak punca yang membawa kepada masalah ini termasuk putus cinta dan penolakan daripada rakan dan keluarga.

“Jika golongan dewasa, mereka lebih cenderung kepada masalah kewangan dan perkahwinan.

“Kita perlu melakukan sesuatu untuk membantu mengurangkan kes seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata, peringkat usia yang cenderung melakukan bunuh diri ini juga perlu dikenal pasti.

“Ia termasuk latar belakang keluarga sama ada mereka datang daripada keluarga berada, berpendapatan rendah atau keluarga yang berpecah-belah.

“Saya menyarankan agar kita semua memiliki institusi keluarga yang mantap dan berkemahiran keibubapaan yang baik supaya dapat menyelesaikan masalah dalam kalangan anak-anak di peringkat awal,” jelasnya.

Tambahnya, hubungan antara rakan sepejabat dan rakan sebaya juga penting dalam isu ini kerana hubungan tersebut memudahkan kita mengadu masalah.

“Dari segi psikologi, berkongsi masalah ini dapat meringankan beban seseorang.

“Jika tidak dapat membantu, mereka boleh memberi nasihat serta mencadangkan rakan yang dalam tekanan merujuk kepada golongan profesional seperti pakar psikiatri dan sebagainya,” katanya.

Kebelakangan ini, terdapat beberapa kes bunuh diri dilaporkan di Sarawak seperti kes remaja bunuh diri di Batu Kawa, suami isteri bunuh diri di Miri, percubaan membunuh diri di Hotel Tune Kuching dan kelmarin lelaki menggantung diri di tangga pusat komersial Kuching.