Kit ujian pantas rabies untuk manusia

KUCHING: Penyelidikan ‘kit ujian pantas rabies’ akan membolehkan keputusan virus penyakit anjing gila dalam sampel darah manusia diketahui dalam tempoh dua jam selepas gigitan.

Penyelidik Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Unimas, Dr. David Perara berkata, kepantasan dalam mengetahui keputusan sampel darah manusia selepas digigit oleh anjing adalah keperluan utama Sarawak pada masa ini.

“Oleh itu kita mencipta kit ini dengan tahap sensitiviti yang tinggi.

“Ini kerana wabak rabies berbeza, bergantung kepada faktor geografi,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan geran oleh Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak (SRDC) kepada Unimas untuk membangunkan kit tersebut, semalam.

David yang mengetuai pasukan penyelidik itu berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah mencuba kit rabies dari Korea termasuk membawa pakar dari negara itu. “Namun terbukti kit dari Korea itu tidak sensitif dengan wabak rabies di Sarawak.

“Melihat keadaan itu, kita fokus kepada pembangunan kit rabies yang sesuai,” jelasnya.

Untuk rekod, wabak ini hanya diketahui dalam tempoh dua bulan selepas dianalisis pusat penyelidikan di Ipoh, Perak.

Katanya lagi, penyelidikan yang mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan itu akan digunakan untuk memeriksa lebih ramai komuniti setempat.

“Malah, kita telah memulakan penyelidikan secara biologi sejak dua tahun lalu di makmal di Muara Tuang dengan kerjasama rapat daripada Hospital Umum Sarawak dan JPVS.

Dengan menggunakan kepakaran yang ada, pihaknya berazam membantu kerajaan membendung wabak rabies di Sarawak, selain menubuhkan Pusat Penyelidikan Rabies suatu hari nanti.

Jumlah kes rabies di Sarawak dalam kalangan manusia sejak wabak itu diisytihar pada 1 Julai 2017 adalah 18 kes dengan 17 kematian.