KOTA SAMARAHAN: Unimas merupakan organisasi pertama di Asia Tenggara dan Borneo melatih kakitangan pengurusan dan pegawai profesional dalam Program Latihan Teori Penyelesaian Masalah Inventif (Triz).

Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Panglima Sulong Matjerai berkata, Triz merupakan salah satu inisiatif baharu di universiti berkenaan.

“Triz merupakan satu teori penyelesaian berdasarkan perkara logik dan cara, bukan perkara yang hanya boleh kita jangka secara rambang.

“Malah, perkara berkaitan dengan inovasi dan transformasi bukan suatu yang baru bagi Unimas,” katanya pada Program Pelancaran Triz di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (Pitas) Unimas di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, mereka mula dengan membentuk kumpulan penyelidikan dan lingkaran inovasi (innovation circles) dalam Unimas untuk produk dan perkhidmatan pembangunan inovatif.

“Seramai 205 pegawai akan dilatih sebagai sebahagian daripada fasa dalam menyebarkan penggunaan Triz di seluruh Unimas.

“Pada minggu ini, seramai 62 pegawai profesional dan pengurusan akan dilatih pada level pengamal pertama Triz,” katanya ketika berucap semalam.

Tambahnya, setelah selesai fasa pertama ini mereka akan mengadakan konvokesyen dan berharap agar ada majlis angerah untuk mengiktiraf projek inovatif di Unimas.

“Pihak kami juga telah melatih 700 pelajar dari beberapa fakulti seperti Fakulti Perubatan, Kejuruteraan dan banyak lagi serta merancang untuk menawarkan kursus kedua Triz pada semester seterusnya.

“Pada masa akan datang kita juga menjadikan ia sebagai garis panduan melatih pelajar pada tahun pertama sarjana muda dan dapat dicapai dalam pengambilan nanti,” jelasnya.

Kata Kadim, walaupun tanpa pelaburan berjuta ringgit tetapi Unimas cukup bernasib baik mempunyai seorang pengamal dalam level tiga di dalam Universiti.

“Kita juga mempunyai rakan daripada universiti lain, yang merupakan penyokong kuat daripada myTriz.

“Kini, kita akan menggunakan Triz untuk menyelesaikan masalah di Unimas dan ia merupakan langkah revolusi dan menjadikan kita sebagai perintis yang mendorong Triz dalam bidang pendidikan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Triz adalah platform yang akan menjadikan Unimas sebagai salah sebuah daripada 100 universiti terbaik di dunia.

“Saya memberi sokongan penuh kepada usaha yang dimulakan pada hari ini, bersama-sama kita mencapai impian tinggi ini,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Triz Malaysia Tan Eng Hoo, Timbalan Naib Canselor (Kajian dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Penasihat Kanan Persatuan Triz Profesor Dr Nooh Abu Bakar, Pegawai Pendaftar Unimas Henry Tening Sengeng, Pengarah Institusi Informatik Sosial dan Teknologi Inovasi Profesor Dr Narayanan A/al Kulathu Ramaiyer, para dekan dan kakitangan yang lain.