KUCHING: Sehingga Jun lalu, seramai 807 pemandu teksi, bas dan e-hailing telah mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri Perkeso.

Daripada jumlah tersebut, 148 pemandu berdaftar adalah dari Kuching sejak skim tersebut dilaksanakan pada 1 Jun 2017.

Pengarah Perkeso Sarawak Phillip Sangkan berkata, pihaknya akan melancarkan bulan pemutihan bermula 1 hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, bagi pemandu teksi, e-hailing dan bas yang belum mendaftar dan mencarum di bawah skim tersebut, mereka harus mendaftar dengan Perkeso.

Jelasnya, ia di bawah peruntukan Seksyen 2 dan Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dan terpakai ke atas pemandu teksi, e-hailing dan bas.

“Skim ini memberi pelindungan kepada orang mempunyai insurans dan bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan ketika menjalankan aktiviti pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata, Perkeso masih percaya ada pemandu yang masih belum mendaftar dan mencarum di bawah akta tersebut.

Tambahnya, antara syarat kelayakan pendaftaran ialah pemandu hendaklah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap, mempunyai lesen memandu, kad PSV dan kad pemandu. Katanya, kegagalan mendaftar dan mencarum di bawah akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun mak- simum RM5,000.

Tindakan penguatkuasaan jelasnya, akan diambil mulai 1 Ogos kepada pemandu ingkar dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Mana-mana pemandu yang mendaftar secara sukarela dalam tempoh pemutihan akan dikecualikan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan.

“Perkeso juga menyeru kepada semua pemandu teksi, e-hailing dan bas yang masih belum mendaftar supaya tampil mendaftar sepanjang bulan pemutihan ini,” katanya.