KUCHING: Pengarah Pendidikan Sarawak memberi cuti kecemasan dua hari kepada kepada 851 pelajar sesi petang SMK Matang Hilir, di sini.

Pelajar tersebut daripada sebuah kelas peralihan (13 orang), sembilan kelas Tingkatan 1 (269 orang), 10 kelas Tingkatan 2 (285 orang) dan sembilan kelas Tingkatan 3 (284 orang).

Namun, cuti kecemasan tersebut tidak melibatkan guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sekolah.

Cuti tersebut diberi berikutan kejadian bumbung pada salah sebuah blok bangunan SMK Matang Hilir tercabut akibat angin kencang sekitar 3.45 petang, 3 Julai lalu.

Manakala sebuah blok bangunan lagi memerlukan kerja-kerja pembersihan.

Menurut pihak sekolah, bukan itu sahaja, angin kencang yang melanda itu turut menyebabkan kayu-kayu bumbung berterbangan.

Susulan itu, pihak sekolah mematikan sumber bekalan elektrik dengan segera.

Manakala, bagi memastikan keselamatan pelajar yang mengikuti sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), mereka dipindahkan ke dewan sekolah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pihak sekolah turut memasang pita keselamatan di semua kawasan yang terjejas.

Kementerian Malaysia turut menyediakan peruntukan di bawah Perolehan Darurat (AP173) untuk bertujuan baik pulih kerosakan bangunan dan kerja-kerja pembersihan.