“JIKA anda berasa kesepian atau berputus asa, kami ada untuk anda. Anda tidak bersendirian dalam hal ini.”

Mesej ini adalah dari kumpulan pencegah bunuh diri BeFrienders Kuching yang bersedia untuk meminjamkan telinga jika anda menghadapi sebarang masalah dalam hidup.

BeFrienders Kuching Sarawak adalah organisasi bukan kerajaan yang menyediakan sokongan emosi untuk mencegah bunuh diri. Ia adalah sebuah organisasi di seluruh dunia dan Kuching adalah pusat ke-9 di Malaysia.

Dr Mirunaaleni Selvaraju

Peranan anggota Befrienders adalah untuk mendengar, menjadi kawan yang anda perlukan, dan yang paling penting, membantu agar berhenti melakukan usaha bunuh diri.

Kes bunuh diri mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak. Sehubungan itu, Suara Sarawak meminta sukarelawan BeFrienders Kuching berkongsi bilangan pemanggil bunuh diri sejak penubuhannya pada Ogos 2018. Dr Mirunaaleni Selvaraju, 33, seorang doktor perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri dan ahli jawatankuasa Befrienders Kuching, mengendalikan panggilan dan e-mel daripada mereka yang menghubungi organisasi untuk mendapatkan bantuan.

Bersama beliau adalah seorang lagi sukarelawan aktif, Brandon Lee, 19.

“Sejak operasi hotline pencegahan bunuh diri pada bulan Ogos 2018 hingga Mei 2019, kami menerima sehingga 224 panggilan dan jumlahnya meningkat.

“Kebanyakan pemanggil adalah perempuan dan majoritinya adalah dari kumpulan umur antar 21 dan 30 tahun. Hampir satu pertiga dilaporkan mempunyai keinginan bunuh diri dan 5 peratus berada pada risiko aktif bunuh diri,”katanya.

“Kadang-kadang, kami tidak bertanya mengenai umur atau nama mereka kerana kami menghormati privasi dan maklumat peribadi mereka.

Brandon Lee

“Kecuali terdapat cubaan membunuh diri oleh pemanggil pada ketika itu, kami tidak akan mendapatkan maklumat peribadi mereka tetapi tetap memastikan mereka sentiasa dilindungi,” katanya.

Dr Mirunaaleni menambah, kebanyakan pemanggil adalah kesepian.

Ada juga tertekan dengan kehidupan, mengalami keretakan hubungan atau rumah tangga, kekurangan wang dan masalah kesihatan.

“Ramai tidak tahu meluahkan emosi dan ketakutan. Mereka kesepian dan akhirnya bertindak membunuh diri. Itulah sebabnya kita berada di sini untuk mendengar,” jelasnya.

“Kami memberi nasihat kepada mereka mengenai apa yang perlu dilakukan, tetapi kami lebih prihatin terhadap keadaan emosi mereka,” tambahnya.

Lebih Mudah Dengan E-mel

Berikutan jumlah pemanggil meningkat, BeFrienders Kuching menggunakan kemudahan e-mel bermula Januari tahun ini.

Dr Mirunaaleni memaklumkan, mereka menerima 178 e-mel, kebanyakannya dari golongan homoseksual (LGBT) pada Januari hingga Mei tahun ini.

“Daripada penilaian, 15 peratus adalah dengan risiko bunuh diri,” katanya.

Dr Mirunaaleni berkata tidak semua pemanggil mempunyai keinginan untuk bunuh diri tetapi ada yang kesunyian dan memerlukan seseorang untuk bercakap dengannya.

“Kami juga menerima panggilan dan e-mel daripada mereka yang mempunyai masalah kecelaruan jantina.

Kebanyakan mereka menyuarakan kebimbangan dan keresahan mereka serta takut dinilai oleh masyarakat umum kerana ramai orang masih tidak dapat menerima perkara yang mereka ingin laku- kan.

Jadi, kita dengar apa yang mereka perlu katakan,” katanya.

Selain itu, orang ramai juga menelefon atau menghantar e-mel tentang masalah kerja dan pembelajaran. BeFrienders menerima sehingga lima panggilan dalam sehari dan e-mel setiap hari.

Beliau menegaskan Befrienders tidak memberikan perkhidmatan kaunseling tetapi memainkan peranan penting dengan mendengar luahan dan mengesan emosi mereka.

“Kami tidak memainkan peranan untuk mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh seseorang adalah betul atau salah.

Kami tidak menilai isu yang disuarakan oleh mereka tetapi kami memberi perhatian kepada langkah dan cara berdepan dengan emosi mereka,” katanya.

Ketika ditanya perkataan umum yang diucapkan oleh orang dengan pemikiran yang membunuh diri, beliau menjawab, kata-kata seperti ‘tidak ada yang tinggal lagi,’ ‘perkara menjadi semakin sukar,’ ‘saya hanya ingin menyerah kalah dan reda,’ dan ‘saya rasa sudah berputus asa.’

Semua kata-kata ini penting kerana selepas itu ia membolehkan kami bertanya kepada mereka, ‘kenapa anda merasa seperti itu?’

‘Adakah ini bermakna kehidupan tidak baik untuk anda?’ dan ‘Adakah anda berfikir tentang mengakhiri nyawa anda?’