SIBU: Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee memberitahu, projek perumahan mampu milik fasa pertama dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak di Kemuyang dijangka siap pada awal atau pertengahan tahun depan.

Perkara ini didedahkan beliau semasa ditemui media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Skim Penempatan Semula Kampung Jerwit daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Peyelidikan berkata, projek tersebut menunjukkan perkembangan positif.

Jelasnya, HDC dan LCDA diamanahkan untuk melakukan pembinaan perumahan mampu milik di Kemuyang yang terdiri daripada 813 lot, iaitu fasa pertama HDC membangunkan sebanyak 110 rumah manakala LCDA sebanyak 76 rumah.

“Bagi pihak HDC, saya menerima laporannya semalam. Untuk fasa pertama, 86 rumah sudah dipasang cerucuk dan perkembangannya amat baik sekali.

“Fasa ini dilakukan oleh LCDA. Tender dibuka untuk membina 76 rumah tersebut sudah berakhir hari ini (semalam).

“Saya jangka dalam masa sebulan atau dua bulan ini akan diberikan kepada kontraktor yang berjaya,” katanya.

Adun Nangka itu berkata, sebanyak 186 rumah akan dibina dalam fasa pertama.

Sebelum ini, Annuar memberitahu, setiap unit rumah berkenaan berharga RM90,000 hingga RM150,000 dibina menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan hanya mengambil masa 21 hari untuk disiapkan.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menekankan bahawa tanah di Kemuyang bukan program pemberian lot, tetapi untuk Kerajaan Sarawak membina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Untuk peringkat permulaan ini diperuntukkan kepada keluarga kelamin iaitu mangsa kebakaran di Kampung Dato Lama dan di Kampung Hilir, Kampung Baharu yang akan terlibat dengan pembangunan semula.

“Selebihnya, memang kita akan buka untuk masyarakat di Sibu yang layak ataupun mereka di bawah kategori boleh memiliki rumah mampu milik berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 16 penerima LPS pada majlis tersebut iaitu 10 penerima mangsa kebakaran di Kampung Baharu, empat penerima mangsa rumah runtuh di Kampung Sentosa Salim dan dua penerima mangsa kebakaran di Kampung Sentosa Salim, Sibu.

Annuar berkata lagi, terdapat 13 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Baharu, namun hanya 10 keluarga layak menerima LPS.

“Dua daripadanya sudah mempunyai tanah, manakala salah seorang mempunyai masalah tanah kerana JTS mendapati dia mempunyai rekod memiliki tanah, tetapi tidak mengetahui namanya digunakan untuk tujuan tersebut.

“Kita akan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Apabila sudah selesai kelak, kita akan berikan dia LPS.

“Jadi, 16 penerima menerima LPS pada hari ini,” tegasnya dan menambah, kini hanya Skim Penempatan Semula Kampung Jerwit yang tersedia untuk semua penerima LPS tersebut.