Idea pengisytiharan harta dalam kalangan anggota legislatif dan pentadbiran mula dibincangkan sejak 1950-an di Barat.

Antara yang terawal menyebutnya ialah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Harry S. Truman pada 1951. Tujuannya adalah sebagai satu mekanisme untuk memerangi rasuah.

Bagaimanapun, mendedahkan kepada umum jumlah pendapatan dan harta bukan perkara mudah kerana dibimbangi menceroboh ruang privasi.

Di AS sendiri mengambil masa lama untuk dilaksanakan selepas berdepan skandal Watergate sebelum perkara itu dilaksanakan menerusi penggubalan Akta Etika Dalam Kerajaan 1978.

Selepas empat dekad era ketelusan mengambil tempat di seluruh dunia, kini Malaysia mengambil langkah bersejarah dengan Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan oleh 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk ahli parlimen pembangkang.

Berdasarkan usul itu, semua ahli parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama Ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja dipaparkan di portal berkenaan selama tempoh tiga bulan daripada tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika Ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Walaupun belum diwajibkan di peringkat negeri, namun Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyambut baik pengisytiharan harta oleh ahli politik di Sarawak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor berkata beliau kini menunggu Dun Sarawak untuk menentukan sama ada rang undang-undang pengisytiharan harta diluluskan oleh wakil rakyat atau sebaliknya.

Menurut Razim, beliau berkesempatan berbincang dengan Abang Johari berkaitan pengisytiharan harta oleh wakil rakyat negeri ini pada Mac lalu.