BELAWAI: Karnival Pantai Belawai berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 10,000 penduduk pada hari pertama penganjurannya, bermula hari ini.

Majlis perasmian pesta yang berlangsung di Taman Pesta Belawai itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu diserikan dengan persembahan artis terkemuka tempatan termasuk Sarikei Buskers, Bob AF, Syarifah Zarina dan Dayang Nurfaizah.

Program yang sememangnya dinantikan oleh penduduk di Daerah Tanjung Manis ini dianjurkan Pusat Khidmat P206 Tanjong Manis dan Pusat Khidmat N41 Kuala Rajang.

Gandingan kerjasama erat antara jabatan dan agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tanjung Manis, bersama-sama masyarakat tempatan bagi merangka aktiviti untuk memeriahkan program.

Sebanyak 150 buah gerai jualan disediakan selain pentas hiburan diadakan setiap malam memeriahkan tapak pesta.

Selain persembahan hiburan, program juga dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan termasuk Belawai Beach Run, Beach Soccer, Sukan Rakyat di Pantai, Pertandingan Memancing, Pertunjukkan Layang-layang, Pertandingan Zumba, Karaoke Kilauan Emas, Bermukun, Ratu Ibu, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Masakan dan lain-lain.

Pameran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan juga diadakan sempena majlis perasmian hari ini.

Orang ramai membanjiri tapak pesta yang bermula hari ini.

 

Pesta menjadi tumpuan ribuan pengunjung

 

Pesta menjana ekonomi terutama peniaga kecil tempatan.