KUCHING: Harapan seorang bapa menghantar anaknya belajar di bandar Kuching untuk mengubah kehidupan keluarga terkubur apabila terpaksa membawa sekujur tubuh anaknya yang sudah tidak bernyawa ke kampung halaman di Baram.

Flora Nugak berusia 19 tahun dari Rumah Nawek Long Tuyut Tinjar, Baram ditemui mati di atas sofa di pusat hiburan di Jalan Ban Hock di sini, petang Rabu lalu.

Mayat pelajar diploma dalam jurusan penjagaan kesihataan di sebuah kolej swasta Kuching itu selamat dikebumi di kampung halamannya semalam.

Bapanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian berkata, dia hanya mendengar Flora keluar dengan tiga kawan wanita dan dua kawan lelaki pada malam kejadian sebelum dia ditemui meninggal dunia.

Menurut sumber diterima, bedah siasat ke atas mayat menunjukkan bahawa terdapat beberapa perkara lain menjurus kepada punca kematian remaja itu.

Ketika dihubungi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata, seorang pakar forensik akan menjalankan satu lagi bedah siasat ke atas si mati pada Isnin.

“Polis akan menjalankan siasatan ke atas kes itu dan melakukan satu lagi bedah siasat,” ujarnya dan enggan mengulas mengapa kematian Flora yang hanya disedari pada hari berikutnya.