Orang Melayu Sarawak ialah tergolong sebagai penghuni kepulauan Borneo-Kalimantan. Sebagai etnik kedua terbesar di Sarawak yang mewakili lebih 24 peratus populasi di Sarawak.

Dari segi sejarah hubungan Melayu Sarawak dengan dunia Nusantara sangat luas, iaitu dari Kepulauan Sumatera hinggalah ke Brunei. Sebab itu, Melayu Sarawak sangat luas dan mampu berinteraksi dengan etnik lain secara lebih harmoni.

Sebelum pemerintahan kolonial Brooke, orang Melayu Sarawak sudah lama menguasai ekonomi tradisional dan bekerjasama dengan kepimpinan politik Kesultanan Brunei.

Hubungan dengan kerajaan di Sumatera, Majapahit dan Kerajaan Kutai sudah lama berlaku sebelum kedatangan Brooke ke Sarawak.

Penempatan Melayu

Orang Melayu sudah lama mendiami kawasan perairan pesisir pantai dan sungai kerana di situlah banyak tumbuhnya tamadun dunia seperti tamadun China, India dan Mesopotamia.

Santubong pernah menjadi kota besar dan pelabuhan terkenal. Di Sarawak mereka tinggal persekitaran Kuching, Sadong, Simanggang, Kalaka, Sibu. Mereka juga mempunyai perkampungan di sekitar Santubong, Tanjung Dato, Bako, Saribas dan Lembah Rajang.

Orang Melayu Sarawak dekat dengan sumber pengangkutan sungai yang menjadi penghubung jalinan pengangkutan, sosial, ekonomi dan politik.

Lembah Sungai Sarawak sebagai tempat orang Melayu bertapak dan seterusnya meluaskan kawasan pertanian dan petempatan mereka.

Hubungan ini sangat intim sehingga orang Melayu menggunakan konsep tanah air menjadi perlambangan kepada konsep negeri dan negara. Konsep tanah tumpah pula merujuk kepada sejarah kewujudan mereka.

Dengan ini, dapat dilihat konsep tanah dan air memainkan peranan penting dalam sosiobudaya masyarakat Melayu.

Pada suatu ketika di kawasan Kuching, orang Melayu memiliki banyak tanah, namun sejak awal abad ke-20, tanah mereka banyak terjual kepada bangsa lain.

Di kawasan Satok misalnya, terdapat penjualan tanah kebun ketika itu dan ini menjadi menjadi isu yang diketengahkan oleh intelektual Melayu melalui akhbar seperti Fajar Sarawak (1932) dan Utusan Sarawak (1949).

Urbanisasi

Banyak tanah juga dibangunkan oleh komersialisasi dan ini mengubah landskap politik orang Melayu. Banyak kawasan tanah Melayu yang dibangunkan di sekitar Kuching mengubah Kuching bukan sahaja daripada sosioekonomi Kuching, akan tetapi mengubah landskap politik Melayu dan Sarawak dalam konteks politik kontemporari.

Kawasan ini kebanyakannya semakin dikuasai oleh Pakatan Harapan khususnya DAP. Sudah pasti landskap politik di kawasan pembangunan utama di Kuching termasuk kawasan Satok dan Batu Kawah menerima tempias politik pada pilihan raya yang akan datang.

Di kawasan luar Kuching, tanah adat Melayu Sarawak tidak disukat dengan lebih sistematis. Mereka memiliki tanah beratus tahun lamanya dan tanah mereka tergolong dalam tanah adat apabila dokumentasi berkaitan tanah tersebut tidak dilangsungkan secara baik.

Pemilikan Terhakis

Selepas pembentukan Malaysia dan kini pada abad ke-21, tanah milik orang Melayu terhakis malah hingga kini terdapat lebih 80 peratus orang Melayu tidak memiliki tanah.

Ada juga terpaksa dipindahkan dan kediaman tidak sesuai lagi akibat pembangunan pesat di Kuching.

Perubahan dan pembangunan serta modeniti mengubah landskap kehidupan orang Melayu. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan strategik pembangunan sejak berapa lama akhirnya dikalahkan oleh proses urbanisasi.

Jalan Haji Taha, Jalan Rubber, Jalan P. Ramlee, Jalan Pisang, Jalan Mendu, Padungan kini sudah berubah wajah. Begitu juga di Sibu, Bintulu, Sarikei, Miri yang mempunyai penempatan orang Melayu.

Bukan isu kecil

Isu pemilikian tanah Melayu bukanlah isu kecil dan remeh, sebaliknya ia merupakan isu pembangunan yang perlu ditangani dengan bijaksana oleh pemimpin politik Sarawak.

Hal ini kerana merekalah punca kuasa segala keputusan dalam menentukan hala tuju pembangunan masyarakat di Sarawak.

Setiap etnik mempunyai hak mereka masing-masing dan ini bermakna ketika pengiktirafan NCR dan PMPG dalam konteks masyarakat Dayak mampu diselesaikan dan membolehkan isu tanah adat Dayak dapat diselesaikan dan masyarakat Dayak tidak lagi risau akan hak pemilikan tanah mereka.

Pada masa yang sama, isu pemilikan tanah Melayu juga perlu dilihat secara teliti dan menyeluruh agar masyarakat Melayu tidak kehilangan tanah politik untuk bertapak tanpa disedari.

Ataupun, yang dibimbangi isu ini menyebabkan pola politik Melayu berubah pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Program pembesaran kampung, galakan orang Melayu terlibat dalam pertanian atau perladangan kelompok, pemberian tanah tol perlu dilaksanakan dalam kadar segera tanpa perlu menunggu musim menjelang pilihan raya berlangsung.

• Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah peng- analisis sosiopolitik dan sosiobu- daya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Kredit Gambar: Unimas MOOC