Setiap kali memasuki kereta, perkara utama dilakukan oleh si pemandu atau penumpang, setelah menghidupkan enjin ialah menghidupkan penghawa dingin kenderaan.

Tambah-tambah lagi kalau kereta tersebut sudah dibiarkan lama di bawah panas matahari.

Disebabkan cuaca yang panas dan untuk keselesaan, kadangkala pemandu akan terus menghidupkan enjin kenderaan serta penghawa dingin meskipun mereka hanya keluar sekejap bagi menye- lesaikan apa jua urusan.

Meninggalkan kenderaan tanpa mematikan enjin, bukan perkara asing lagi kepada mana-mana pemilik kereta, bahkan ia menjadi tabiat yang boleh mengundang bahaya.

Lantaran itu, baru-baru ini kita digembarkan dengan laporan seorang bayi terperangkap di dalam kereta di hadapan sebuah tadika di Kota Samarahan.

Menurut laporan pihak Bomba dan Penyelamat Sarawak pada 2 Julai lalu, seorang bayi berusia dalam lingkungan empat bulan telah terkunci di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta Persona.

Difahamkan, kenderaan tersebut merupakan jenis automatik dan ibu mangsa meninggalkan bayinya seketika dalam kereta tanpa mematikan enjin sementara menghantar dua orang anaknya masing-masing berusia tiga dan empat tahun ke tadika berdekatan.

Tindakan Pantas

Tindakan pantas anggota bomba, berjaya membuka pintu kereta tersebut dan mengeluarkan

bayi berkenaan selepas terperangkap kira-kira tujuh minit.

Kes bayi atau kanak-kanak terperangkap di dalam kereta sebenarnya bukan sahaja berlaku di Kuching, malah terdapat satu lagi kes serupa dilaporkan pada minggu yang sama.

Di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 Julai lalu akhbar nasional melaporkan, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dua anaknya berusia dua dan 12 bulan terperangkap lebih setengah jam di dalam kereta yang terkunci di hadapan sebuah taska.

Tutup Pintu

Dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, wanita berusia 27 tahun terbabit dikatakan meletakkan dua anaknya di dalam kereta Proton Satria selepas mengambil mereka dari taska.

Bagaimanapun, selepas menutup pintu kenderaan itu, ia secara tiba-tiba terkunci menyebabkan wanita berkenaan tidak dapat membukanya.

Terperangkap di dalam kereta terlalu lama boleh mengakibatkan strok haba sekali gus mengundang kematian.

Ini terbukti pada kes yang dilaporkan akhbar nasional pada 1 Mac 2018, seorang kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta ibunya di tempat letak kereta terbuka sebuah kolej di Negeri Sembilan, meninggal dunia.

Bedah siasat pada seorang kanak-kanak menunjukkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat strok haba atau kepanasan melampau.

Siasatan

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Wanita terbabit hanya menyedari kanak-kanak tersebut ditinggalkan selepas empat jam, lalu bergegas lari ke kereta untuk mendapatkan anaknya. Malangnya, kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya seseorang terperangkap di dalam kereta.

Dalam masa hanya 15 minit terperangkap di dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian.

Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi.

Manakala pada suhu 41.6 Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Kes kanak-kanak mati terperangkap di dalam kereta adalah satu kes terpencil yang jarang berlaku di Malaysia.

Namun apabila berlakunya kes menyedihkan seperti ini ia menjadi begitu menggemparkan, apatah lagi ia melibatkan nyawa seorang anak kecil.

Dari pemerhatian kes yang berlaku di Malaysia, ibu atau bapa hanya menyedari antara empat ke lapan jam selepas bayi ditinggalkan di dalam kereta dalam keadaan tingkap tertutup pada hari yang panas. Strok haba dan sesak nafas menjadi punca kematian.

Tidak dinafikan faktor kelalaian dan lupa adalah satu faktor kenapa bayi atau kanak-kanak kecil ini terperangkap di dalam kereta.

Ibu bapa khususnya perlu sentiasa waspada dan sentiasa menyedari akan adanya penumpang cilik ini bersama-sama mereka di dalam kereta.

Jangan sesekali cuba meninggalkan mereka di dalam kereta walaupun untuk sekejap sama ada cuaca panas atau sejuk, kerana banyak isu dan kejadian lain turut diundang akibat kelalaian sebegini.