BINTULU: Teknik seorang peniaga menggunakan kotak bungkusan kek untuk menyembunyikan rokok dan minuman keras dari negara China tanpa kelulusan kastam terbongkar dalam satu serbuan di sini, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, ekoran itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas serbuan terhadap sebuah kedai berdekatan Parkcity Commerce Centre, Jalan Tun Ahmad Zaidi, di sini.

“Ketika serbuan, kami menemui minuman keras pelbagai jenama di rak jualan di hadapan kaunter pembayaran di dalam kedai tersebut.

“Justeru, anggaran nilai rampasan rokok dan minuman keras tersebut berjumlah RM9,153.50 dengan cukai RM48,671.37 yang merangkumi 71,600 batang rokok putih pelbagai jenama serta 5.278 liter minuman keras,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, kesemua barang larangan dalam kedai berkenaan disita.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 apabila didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda sepuluh 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu, JKDM meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri,” ujarnya.

Katanya, pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.