KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKSwk) akan berkerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha untuk menyediakan peluang perkerjaan kepada bekas peserta program rawatan, perubatan dan pemulihan.

Timbalan pengarahnya Sulaiman Ismail berkata JTKSwk akan mengambil pendekatan tersebut bagi memastikan mereka yang telah menjalankan latihan pemulihan di AADK dapat peluang perkerjaan jika mempunyai kelulusan kemahiran.

“JTKSwk turut berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menganjurkan program seumpama ini bagi menempatkan pencari kerja orang kurang upaya (OKU) dalam bidang pekerjaan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada  Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Sarawak di sini semalam.

Beliau yakin JTKSwk mampu menempatkan 11,000 perkerjaan di seluruh negeri untuk pencari kerja, termasuk yang mempunyai kelulusan ijazah dan lepasan sekolah pada tahun ini dalam pelbagai sektor.

Mengenai karnival berkenaan, beliau berkata dijangka lebih 3000 pengunjung akan hadir pada hari ini dimana 1,324 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 20 majikan, termasuk dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pendigitalan.

Beliau menyeru agar belia belia lepasan sekolah atau kelulusan ijazah  merebut peluang perkerjaan yang ditawarkan pada hari ini, yang kebanyakannya perlu diisi dengan segera oleh majikan.

Program Karnival Kerjaya JobsMalaysia tersebut merupakan program kelima dianjurkan oleh JTKSwak tahun ini selepas ia diadakan di Mukah (23 Februari), Lawas (9 March), Kuching (28 March) dan Bintulu (6 April).

Sementara itu Pengurus Sumber Manusia Legoland Malaysia Murni Masrom berkata syarikat yang berpangkalan di Johor itu mempunyai 100 kekosongan jawatan termasuk  25 untuk pengawal keselamatan nyawa di taman temanya.

Pihak syarikat mencari pekerja dari Sarawak sebagai pengawal keselamatan nyawa kerana masyarakat di sini terkenal sabagai perenang yang mahir, yang merupakan keperluan asas bagi pekerjaan itu, katanya ketika ditemui Bernama di gerai Legoland Resort Malaysia.

Antara kekosongan yang ditawarkan dalam karnival kerjaya itu  ialah bagi jawatan juruteknik mekanikal dan elektrikal, eksekutif tempahan, pengalisis dan pekerja di barisan hadapan.