KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memberi respon kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengenai pinjaman RM1 bilion bagi menyelesaikan isu sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak memberi respon kepada Maszlee dan beliau tidak mengetahui mengenai empat syarat yang dikemukan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng lewat semalam.

“Kita telah beri respon kepada Maszlee berhubung dengan pinjaman RM1 bilion bagi menyelesaikan isu sekolah daif.

“Setakat ini, saya masih belum membaca empat syarat yang dikemukan oleh Menteri Kewangan, jadi, tidak adil untuk saya memberi komen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Malam Mesra Gawai Raya di Kampung Segedup di sini, malam tadi.

Semalam, Ketua Menteri menghadiri Pesta Belawai di Belawai pada sebelah pagi dan pada sebelah petang ke Mukah untuk bertemu dengan rakyat sebelum ke Kampung Segedup.

Guan Eng dalam satu kenyataan lewat semalam memberitahu Kerajaan Sarawak belum memberi sebarang respon mengenai empat mekanisme perundangan bagi pinjaman RM1 bilion untuk menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak.

Dalam kenyataan itu Guan Eng memberitahu, secara dasarnya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih sekolah daif tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

“Pada waktu semasa, Kerajaan Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,375 juta.

“Sekiranya RM1 bilion ini dibayar balik oleh Kerajaan Sarawak, maka Kerajaan Sarawak masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,375 juta,” katanya.

Justeru, beliau menggariskan empat syarat bagi mekanisme iaitu, Kerajaan Sarawak harus membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh Kerajaan Sarawak sebagai peruntukan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” jelasnya.

Tambah Guan Eng, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak harus ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

“Keempat, Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Kerajaan Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Sarawak sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Guan Eng, jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ia bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

“Pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti yang dinyatakan di dalam empat perkara di atas telah dijelaskan kepada Kerajaan Sarawak semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac 2019 dan disusuli dengan surat bertarikh 20 Mac 2019.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada Kerajaan Sarawak,” katanya.