MIRI: Status terkini berkenaan pengurusan diabetes di seluruh Malaysia masih tidak memuaskan, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim.

Menurutnya, hasil kajian dilakukan lebih 6,000 penghidap diabetes di Malaysia dan hanya satu pertiga daripada pesakit mengakui diajar tentang pengurusan diabetes yang betul.

“Sebagai pakar, kita perlu mempengaruhi pesakit secara positif walaupun terdapat banyak cabaran dan kekangan masa.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan inisiatif untuk melaksanakan penyampaian maklumat secara talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Majlis Persidangan Diabetes Borneo ke-2 2019 di sini, semalam.

Jelasnya, kemudahan tersebut salah satu medium untuk menyediakan maklumat terkini untuk memberi kelebihan kepada pesakit diabetes dalam pengurusan penyakit masing- masing.

Selain itu, Jamilah turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa persidangan tahun ini kerana memainkan peranan penting membantu mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai diabetes.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Persidangan Diabetes Borneo ke-2 2019 Jong Koi Chong berkata, Persatuan Diabetes Malaysia sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha memerangi masalah diabetes ini.

“Persidangan dan bengkel ini bukti usaha berterusan pencegahan dan kawalan diabetes di Malaysia.

“Saya yakin dengan usaha Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Miri dalam meningkatkan pengetahuan dan kema- hira pendidik berkenaan dengan penyakit ini akan memberi manfaat kepada negara,” katanya. Oleh itu, ujar beliau, ini adalah masa tepat dan sesuai bagi membincangkan bagaimana menangani isu tersebut dalam persidangan diadakan.