KUCHING: Tahun 2002 mencatatkan detik bersejarah yang tidak akan dilupakan oleh Persatuan Orang Pekak Sarawak apabila berjaya membuka dua jenis perniagaan iaitu projek mencuci kereta dan menjahit.

Sehingga hari ini, kedua-dua perniagaan yang dikelolakan oleh badan bukan kerajaan itu mendapat tempat di hati masyarakat dan kedatangan pelanggan untuk mendapat khidmat mereka tidak pernah surut.

Hasil pemerhatian Suara Sarawak selama tiga jam di ruang mencuci kereta di belakang bangunan di Jalan Laksamana Cheng di sini mendapati kenderaan orang awam tidak kira bersaiz besar dan mewah atau biasa berpusu-pusu datang.

Setiap kereta yang dicuci menggunakan semburan air. Pekerja akan mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit dan ia dilakukan secara berhati-hati dan teratur.

Mengesahkan situasi itu ialah Pengurus Persatuan Orang Pekak Sarawak Ernest Ting apabila ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menyatakan perniagaan cuci kereta mendapat sambutan hangat.

ERNEST (kanan) memberi penerangan mengenai perniagaan cuci kereta yang diterjemah oleh jurubahasa isyarat.

“Sebelum ini, bangunan persatuan terletak di Jalan Rodway dan dari sana kita mula menubuhkan kedua-dua perniagaan ini yang dibantu oleh Kelab Lions.

“Tahun ini sudah 18 tahun persatuan menjalankan dua perniagaan berkenaan. Sepanjang tempoh itu, kita menubuhkan tiga lagi khidmat baharu iaitu kelas bahasa isyarat kepada orang kelainan pendengaran, kelas bahasa isyarat kepada orang awam dan gunting rambut,” ujarnya.

Beliau yang juga mempunyai kelainan pendengaran sejak lahir menyatakan, semua pekerja yang mencuci kereta ini terdiri daripada ahli persatuan dan mereka juga pekak.

“Sepanjang kami beroperasi, respons daripada pelanggan sangat bagus. Setakat ini tiada aduan diterima. Sampaikan ada pelanggan beri tip lagi kepada mereka kerana sangat berpuas hati dengan cucian yang dilakukan,” selorohnya sambil tersenyum.

Mengulas mengenai belajar cara mencuci kereta, Ernest berkata, setiap pekerja belajar mencuci menggunakan visual dan memberi fokus kepada setiap tugasan yang diberikan.

“Kami sedar akan kekurangan diri yang ada… jadi, kami belajar menggunakan cara visual dan mengikut setiap langkah yang ditunjukkan oleh pengajar atau jurutunjuk.

“Ini bermakna, jurutunjuk akan menunjukkan cara bagaimana mencuci kereta dengan sempurna secara berperingkat-peringkat,” terangnya menerusi bantuan jurubahasa isyarat, Hope Lee Jia Chin.

Bagi perniagaan menjahit pula, Ernest menyatakan, pelanggan biasanya akan membawa contoh pakaian atau lukisan pakaian yang mahu diubah suai atau dijahit.

“Kita tahu tidak semua pelanggan tahu bahasa isyarat, namun bahasa badan sudah memandai untuk mereka menerangkan jenis reka bentuk pakaian yang dimahukan,” ujarnya.

Beliau mengakui ada juga pelanggan yang cerewet dan untuk mengatasi perkara tersebut, pekerja akan memohon maaf sekiranya ada kesilapan berlaku jika ia berpunca daripada pekerja itu sendiri.

“Jika berlaku kesilapan, contohnya cucian tidak bersih atau jahitan tidak sempurna, kami akan buat semula dan tiada caj dikenakan. Namun, kebanyakan pelanggan sangat memahami dan masalah dapat diselesaikan dengan profesional,” ujarnya.

Anak bongsu berusia 32 tahun daripada tiga beradik itu menambah, sebelum ini dia pernah berhadapan dengan situasi dia ‘dihakimi’ pada pertemuan pertama.

“Tipulah kalau saya tidak berasa sedikit sedih atau terasa hati jika dipandang lain… biasanya dalam hal ini, saya akan senyum dan cuba bermesra dengan individu berkenaan.

“Saya sudah lama melatih minda iaitu mungkin dia tidak tahu budaya orang pekak, sebab itu dia kasar. Sentiasa berfikiran positif sangat penting,” katanya sambil menunjukkan tanda senyum di bibir.

Ernest juga menambah, pada April lepas, dia pernah membuat aduan kepada pihak atasan sebuah bank kerana pegawai bank yang berurusan dengannya berkasar dan sambil lewa.

SAMBUTAN… Kereta tidak kira saiz datang untuk mendapatkan khidmat cucian.

“Saya tahu hak-hak orang pekak. Jadi, saya tidak takut untuk memperjuangkan hak tersebut kerana kami pun sama seperti rakyat lain cuma yang membezakan kita hanya daya pendengaran yang tidak sempurna,” tegasnya.

Sementara itu, Peron Sidop, 45, pencuci kereta berkata, dia mula belajar dan bekerja mencuci kereta sejak 1995 dan kini bekerja sepenuh masa mencuci kereta.

Menceritakan pengalamannya menggunakan bantuan jurubahasa isyarat, Peron menyatakan, dia belajar sekali gus menjadi ketua bahagian tersebut daripada ahli persatuan.

“Saya ada seorang guru. Dia yang banyak mengajar saya bagaimana mencuci kereta. Dia tunjuk kepada saya bagaimana mencuci kereta secara berperingkat-peringkat dan sempurna.

“Saya mengalami masalah pendengaran sejak lahir, jadi saya belajar mencuci kereta melalui visual dan pergerakan bahasa tubuh selain melalui tulisan dan gambar rajah,” ujar bapa empat anak itu. Berasal dari Kampung Taee, Serian, Peron menunggang motosikalnya ulang-alik dari kampung ke pusat berkenaan setiap hari untuk bekerja.

“Saya bergerak dari kampung seawal 6.30 pagi dan menghantar isteri ke tempat kerja dahulu, sebelum tiba di pusat ini kira-kira 7.45 pagi,” katanya sambil menambah, tempoh perjalananya bergantung kepada keadaan trafik.

Peron memberitahu, empat anaknya normal kecuali isterinya juga mempunyai masalah pendengaran sejak lahir, dan kini bekerja di sebuah kedai sebagai tukang jahit.

“Saya memang bekerja sebagai pencuci kereta. Ini satu-satunya pekerjaan saya. Jika pelanggan datang ke sini, biasanya pelanggan sudah sedia maklum bahawa ini pusat orang pekak.

“Dari segi komunikasi tiada masalah sebab, pusat ini memaparkan gambar dan caj khidmat untuk jenis kereta yang cuci di papan tanda. Pelanggan hanya perlu tunjuk kategori cucian yang dimahukan,” jelasnya.

Waktu cuci kereta di Persatuan Orang Pekak Sarawak bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Sabtu.