KUCHING: Menjelang Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) yang ke-22 pada 12 hingga 14 Julai tahun ini, Kampung Budaya Sarawak (SCV) kini bersedia menerima pengunjung dari seluruh dunia dan kini telah dinaik taraf bagi keselesaan semua.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kampung Budaya tersebut dinaik taraf hasil usaha Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan peruntukkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM13 juta untuk menaik taraf kawasan ini, kerana kawasan ini belum pernah dinaik taraf untuk tempoh lama.

“Kita hari ini dapat lihat struktur bangunan lebih baru di SCV ini, kita berterima kasih kepada SEDC dalam usaha mempercepatkan proses penaiktarafan dan pengubahsuaian tempat ini, termasuk kemudahan bagi RWMF 2019 ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerjanya di SCV hari ini.

Jelas Karim banyak kerja-kerja telah di buat bagi menjadikan tempat ini lebih kondusif dan lebih menarik untuk pengunjung.

Dalam perkembangan sama jelasnya capaian jalur lebar di kawasan SCV kini turut dinaik taraf untuk semua pengunjung.

“Kita telah cuba dan bekerjasama dengan syarikat SACOFA dalam membantu perkara berkenaan capaian jalur lebar di sini, dan tahun lepas saya ada menjelaskan bahawa capaian jalur lebar untuk tahun ini akan diperbaiki, tambahan dengan ribuan yang akan datang kita harap masalah tidak akan timbul.

“Pada hari berlangsungnya RWMF ini nanti kita akan tahu kelajuan capaian internet ini dapat memenuhi kemudahan pengunjung,” ujarnya.

Jelasnya sebagai penganjur lokasi, SCV sudah cukup pakar dalam mengendalikan kehadiran orang ramai selama 22 tahun RWMF diadakan dan ini tidak menjadi masalah bagi pihak SCV.

Di samping itu,Karim juga mengalakkan orang ramai membawa bekas minuman mereka sendiri bagi memgelakan pertambahan sampah plastik pada hari kejadian.

“Kelainan yang akan kita bawa tahun ini ialah kita galakkan pengunjung bawa bekas botol mereka sendiri selain akan ada dijual bekas-bekas yang boleh dijadikan simpanan memori mereka setelah datang ke festival muzik ini.

“Ini juga merupakan satu usaha inisiatif penganjur dan SCV untuk tidak mengguna plastik dan botol bagi mengelakkan sampah berlebihan dan pengunaan plastik yang berleluasa,” jelas Karim.

Dalam lawatan itu beliau telah melihat secara keseluruhan kawasan SCV bagi melihat perkembangan terkini penaik taraf kawasan tersebut yang dijangka bakal dihadiri pengunjung dari seluruh dunia.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Pengurus Besar SCV Jane Lian Labang, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Wahab Dollah Aziz, Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir dan Timbalan Pengurus Besar Edwin Abit.

Untuk festival kali ke-22 ini seramai 29 pemuzik telah dihimpunkan untuk membuat persembahan yang berlangsung selama empat hari ini dan lima daripada kumpulan tersebut ialah dari Malaysia iaitu At Adau, Suku Menoa, Suk Binie’, Staak Bisomu, dan Kemeda.