TANJUNG MANIS: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh membidas kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian, projek paip air Tanjung Manis yang bernilai hampir RM1 bilion tidak memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Malah katanya, usul menggunakan sumber air bawah tanah yang dikemukakan oleh menteri berkenaan juga tidak munasabah kerana alternatif itu telah digunakan oleh Kerajaan Sarawak sejak 30 tahun yang lepas.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan terpaksa menggunakan bekalan dari Bayong Sarikei kerana sumber air bawah tanah tidak mencukupi bagi menampung pembangunan Tanjung Manis.

“Bagaimanapun kebanyakan saluran paip yang digunakan untuk menyalurkan bekalan air dari Bayong uzur dan mengalami kebocoran. Oleh kerana itulah, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan untuk menggunakan bekalan air dari Batang Rajang yang disalurkan dari Sibu.

“Usaha yang mempunyai impak besar dalam tempoh jangka panjang ini dilakukan kerana kerajaan sedar keperluan bekalan air di Tanjung Manis akan bertambah dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Cadangan yang dikemukakan Baru Bian menunjukkan kebodohannya yang tidak tahu menahu tentang perkara sebenar tetapi telah memberi pendapat yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata, Kerajaan Sarawak tidak pandang ringan masalah ini (gangguan air) di Tanjung Manis termasuk di Kampung Belawai.

“Orang PKR memang pandai bercakap saja kononnya untuk menyelesaikan masalah air di Belawai, pada hal mereka tidak tahu masalah yang sebenar. Masalah Air di Selangor mereka tidak mampu urus apatah lagi di Belawai,” katanya.

Menyentuh mengenai program anjuran Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Belawai dan Sarikei, beliau berkata, penduduk memberikan sambutan luar biasa apabila menyaksikan kehadiran lebih 15,000 pengunjung.

“Malah, kita amat gembira apabila ribuan penduduk hadir pada majlis perasmian Karnival Pantai Belawai yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Manakala, Pesta Rakyat Sarikei pula mendapat respon baik daripada penduduk terutama golongan belia.

“Ini menunjukkan mereka masih memberikan sokongan padu kepada GPS sekaligus menolak andaian kononnya, akan ada angin perubahan politik di kawasan ini khususnya di Tanjung Manis seperti yang telah dinyatakan oleh Naib Presiden PKR Pusat, Ali Biju,” ujarnya.