KUCHING: Keringkam Sarawak dapat pergi jauh dalam dunia fesyen kerana sesuai dijadikan peralatan hiasan.

Pereka fesyen terkenal kelahiran Sarawak, Datuk Tom Abang Suafi berkata, sifat keringkam yang kontemporari bukan sahaja sesuai dijadikan sebagai pakaian, malahan perhiasan lain untuk wanita.

“Keringkam Sarawak digunakan untuk membuat kasut, perhiasan di kepala malah tas tangan.

“Maka, keringkam Sarawak tidak terhad kepada satu item sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertunjukan fesyen sempena Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak yang dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Kompleks Dun di sini, malam kelmarin.

Kata Tom, sebagai pereka fesyen, beliau ingin agar keringkam Sarawak dipakai setiap masa oleh wanita.

“Apabila mereka fesyen yang mempunyai elemen warisan, saya sentiasa menginginkan agar rekaan itu dapat dipakai bila-bila masa, bukannya untuk majlis perkahwinan sahaja.

“Malah, saya ingin mereka busana berasaskan keringkam yang senang dikenakan tanpa mengambil masa yang lama,” jelasnya.

Bagaimanapun, Tom mengakui keringkam Sarawak agak mahal di pasaran, namun beliau memberitahu, pakaian tradisional itu kini mampu dipakai oleh sesiapa sahaja.

“Memang keringkam agak mahal di pasaran tetapi kita dapat mereka busana yang berinspirasikan keringkam.

“Kita dapat menggunakan teknik sulaman dan motif menggunakan benang yang lebih murah tetapi hampir sama dengan emas,” ujarnya.

Tom dikenali sebagai heroin warisan dalam industri fesyen kerana bijak menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari.

Malah, beliau mereka busana dengan mengekalkan identiti dan asal usul negeri kelahirannya, Sarawak dengan memaksimumkan penggunaan tekstilnya.

Beliau pernah mereka fesyen dengan motif tradisional “pua kumbu” dan “batik”.