KUCHING: Voon Fang Qi, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun jika kali pertama bertemu pasti setiap orang akan jatuh hati dengan telatah dan kecomelannya.

Fan Qi dapat digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang mudah mesra dengan mana-mana orang dijumpainya tanpa rasa takut.

Tetapi tiada siapa sangka, kanak-kanak yang sentiasa berwajah ceria dan kaya dengan senyuman itu sebenarnya telah menderita secara senyap kerana sejak lahir, dia telah kehilangan pendengaran.

Suara Sarawak secara kebetulan bertemu dengan kanak-kanak ini bersama-sama dengan kedua-dua datuk dan neneknya di Pusat Penjagaan Pendengaran hear LIFE, yang menerima pemeriksaan susulan.

Voon Nam Hoon, 56, berkata, Fang Qi ialah cucu sulungnya dan kanak-kanak itu kini tinggal bersama-samanya dan isteri, Then Gan Hiong, 46, di Asajaya memandangkan anaknya berkerja di Singapura.

“Fang Qi cucu yang ceria meskipun menghadapi masalah pendengaran. Dia tetap bermain dengan kanak-kanak lain dan bergaul dengan orang sekeliling tanpa gentar.

“Seolah-olah, dia melihat dunia ini langsung tiada bahaya atau masalah,” kata Nam Hoon menunggu cucunya yang ditemani isteri menjalani pemeriksaan susulan implan koklea.

Pada 18 Mei lalu, Fang Qi ‘mendapat’ deria dengarnya semula seperti kanak-kanak normal lain dengan bantuan implan koklea yang dimasukkan ke dalam kepalanya.

“Dia menjalani pembedahan implan koklea pada 18 Mei di sebuah hospital swasta dan sekarang kami membawanya untuk membuat pemeriksaan susulan.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan wang orang awam kerana dengan sumbangan itu membolehkan Fang Qi menjalani pembedahan implan koklea,” katanya.

Nam Hoon juga menyatakan, tarikh 12 Jun lalu di ruang parkir berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, ialah saat-saat yang tidak akan dilupakannya.

Menurut petani itu, ini kerana ia adalah kali pertama mereka mendengar suara Fan Qi yang menyebut perkataan Papa (bapa) selepas menggunakan implan koklea.

“Sehingga kini saya masih ingat, pada masa itu kami sedang menghantar bapanya ke lapangan terbang. Sejurus tiba dan bapanya hendak melangkah keluar kereta, tiba-tiba Fan Qi menyebut perkataan ‘papa’ kepada kepada anak saya.

“Kami anak-beranak sungguh terkejut dan teruja apabila mendengar suaranya. Ini bermakna, Fan Qi sudah mampu mendengar dan bercakap,” katanya sambil mengalir air mata semasa menceritakannya kenangan indah itu.

Kini kata Nam Hoon, cucunya sudah mula menyebut perkataan seperti mama (ibu), yeye (datuk), cece (nenek) dan beberapa perkataan asas lain.

Menurutnya, sebelum implan koklea itu dipasang, mereka tidak pernah mendesak Fan Qi untuk belajar, sebaliknya mendedahkan Fan Qi kepada keadaan persekitaran mengikut keselesaan kanak-kanak berkenaan.

“Kami tidak mahu Fan Qi rasa terasing atau rasa rendah diri. Kami mahu dia menikmati zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak normal lain seperti bermain,” ujarnya.

Menceritakan detik apabila dimaklumkan Fan Qi pada usia satu hari menghadapi masalah pendengaran pula, Nam Hoon akui ia sesuatu berita yang mengejutkan kepada mereka sekeluarga.

“Kami sekeluarga tiada sejarah mempunyai masalah pendengaran. Namun, apabila dimaklumkan Fan Qi menderita masalah ini, sangat sukar untuk dipercayai,” ujarnya sayu.

Bagaimanapun secara perlahan-lahan, akhirnya mereka sekeluarga menerima hakikat bahawa Fan Qi kanak-kanak istimewa dan ada sinar untuknya menjadi seperti kanak-kanak normal lain.

“Sejak dipasang implan koklea, Fan Qi tidak pernah merungut. Apabila alat pemancar yang dile- takkan di belakang telinga luarnya terjatuh, dia pandai memasangnya semula,” jelasnya.

Nam Hoon berharap implan koklea yang dipasang kepada cucunya akan membantu cucunya menjalani kehidupan lebih baik apabila meningkat dewasa kelak.

“Kami berdua mahukan yang terbaik untuk Fan Qi dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain,” katanya.`