SIBU: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Sebakau, salah sebuah perkampungan nelayan di Pulau Bruit, Bahagian Mukah, memohon agar kesulitan harian yang dilalui berikutan masalah bekalan air paip yang tidak menentu sejak awal tahun ini, agar ditangani dengan segera.

Bekalan air yang sering terganggu, adakalanya sehingga beberapa hari lamanya sejak kebelakangan ini, menyebabkan penduduk terpaksa menadah air hujan, namun apabila tiada hujan dan air di dalam tong tadahan mulai berkurangan atau kering, penduduk terpaksa membeli air botol bagi tujuan memasak serta minum, dan bagi tujuan mandi atau membasuh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Razali Ali berkata adakalanya krisis itu berlarutan sampai berhari-hari lamanya, dan jika ada bekalan air sekalipun, ia hanya di sebelah malam dan tekanan air pula yang teramat rendah, menyebabkan air tidak naik ke pili air di atas rumah, hanya pili yang terletak di bawah rumah yang dapat bekalannya.

“Keadaan bertambah sukar apabila hujan tidak turun beberapa hari. Simpanan air di dalam tong kering. Terpaksa kami beli berkotak-kotak air mineral botol besar (1.5 liter) untuk keperluan minuman dan memasak,” katanya kepada Bernama.

“Kalau air untuk mandi sudah tiada, saya terpaksa pergi ke saliran air di ladang sawit berhampiran untuk mandi,” katanya, dan menambah keadaan ini tidak pernah berlaku tahun lepas.

Salah seorang penduduk, Nasir Musel, 60, berkata tindakan membawa masalah kepada media massa bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, tapi untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa masalah yang dihadapi penduduk kampung.

“Sejak sebelum puasa yang lalu bekalan air, dua tiga hari ada tapi lepas itu tekanan rendah, air keluar kecil malah adakalanya tidak ada. Saya ada hubungi JBALB (Jabatan Bekalan Air Luar Bandar) tidak lama selepas itu baru ada air,” katanya.

Beliau tidak tahu apakah punca sebenar masalah tersebut berlanjutan begitu lama.

Sementara itu seorang suri rumah yang hanya dikenali sebagai Sipot Musel pula menyifatkan masalah bekalan air paip di kampung berkenaan sudah berada pada tahap darurat kerana kebanyakan tong simpanan air penduduk kampung sudah kering memandangkan sudah lebih sebulan hujan tidak turun.

Beliau berkata jika ada hujan, airnya itu boleh digunakan untuk menampung keperluan harian, namun menurutnya hari ini, sudah tiga hari air paip langsung tidak ada, sedangkan tong-tong airnya pun banyak yang sudah kering.

“Kami kini terpaksa bergantung kepada air mineral untuk memasak dan minuman. Nak ambil wuduk pun susah sekarang. Kami merayu pihak berkenaan mengatasi masalah ini dengan kadar segera kerana sudah lama kami hidup susah disebabkan bekalan air paip tidak menentu,” katanya. — BERNAMA