SARIKEI: Penganugerahan sijil Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) merupakan salah satu inisiatif penting Jabatan Kesihatan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengusaha premis makanan.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr Emmanuel Joseph Fong berkata, BeSS mengalakkan peniaga menyediakan makanan yang selamat dan sihat untuk pelanggan mereka.

Malah katanya, pengiktirafan itu amat penting sebagai jaminan kualiti penyediaan makanan yang disediakan oleh pengusaha premis kepada orang ramai.

“Secara umumnya, sebanyak empat kriteria utama perlu dipatuhi oleh pengusaha sebelum layak mendapat periktirafan ini iaitu mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan selamat dan sihat selain saiz hidangan yang betul mengikut keperluan individu,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan BeSS di Pusat Penjaja Sungai Sarikei, hari ini.

Sehubungan itu beliau, menyarankan agar pengusaha premis makanan di bahagian ini mendapatkan pengiktirafan BeSS.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr Emmanuel Joseph Fong menunjukkan logo BeSS pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan BeSS di Pusat Penjaja Sungai Sarikei sambil diperhatikan kakitangan yang lain.

Menurutnya, BeSS yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Sarawak amat penting kerana ia memberi jaminan terhadap kualiti penyediaan makanan kepada pelanggan.

“Pengiktirafan BESS membabitkan dua komponen iaitu keselamatan dan kualiti makanan serta komponen pemakanan.

“Bagi mendapatkan pengiktirafan ini, pengusaha premis makanan perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan. Kriteria utama yang harus dipatuhi oleh pengusaha premis makanan ialah mengekalkan premis yang bersih dan menyediakan makanan yang sihat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sehingga Jun tahun ini, jumlah outlet makanan yang mendapat pengiktirafan BeSS dan masih dalam tempoh sah laku (tiga tahun) ialah sebanyak 26 premis terdiri daripada gerai, kantin sekolah, kantin fasiliti kerajaan, kafe hotel, gerai taman selera dan sebagainya.

Sehubungan itu katanya, pengusaha boleh mengemukakan sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BeSS dengan menghubungi Pejabat Kesihatan daerah dan bahagian yang berdekatan.

“Mereka juga boleh mengemukakan permohonan menerusi alamat Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei ( Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan), Tingkat Tiga Wisma Persekutuan, Jalan Bangunan Kerajaan, 96100 Sarikei atau menghubungi talian 084-651086 atau fax : 084-654402,” ujarnya.