KUCHING: Projek tahun akhir dengan tesis bertajuk Social Work Practice with the Deaf: Culturally Competent Assessment and Accesibility of Social Services menjadi pencetus utama kepada Hope Lee Jia Chin, 26, menjadi antara jurubahasa isyarat di Persatuan Orang Pekak Sarawak.

Jia Chin dari Matang merupakan siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Kajian Khidmat Sosial) Unimas dan bergaduat pada 2016.

“Untuk melengkapkan tesis, saya banyak bergaul dengan ahli persatuan yang mempunyai masalah pendengaran, selain dengan sukarelawan yang berkhidmat dengan persatuan.

“Sepanjang tempoh itu, saya mendapati peranan jurubahasa isyarat sangat penting khususnya dalam menyampaikan maklumat yang betul kepada penerima yang ditujukan,” ujarnya.

Menurut Jia Chin, pada mulanya dia akui berdepan kesukaran kerana tidak tahu mengenai bahasa isyarat dan kekangan berkomunikasi memberi cabaran besar kepadanya.

Namun tanpa disedari, kesukaran yang dihadapinya menjadi pembakar semangat, sekali gus membakar keazamannya membantu komuniti tersebut.

“Sebelum bekerja di sini, saya bekerja di Hope Place. Pada masa sama, saya juga aktif dengan kerja-kerja sukarelawan bersama Persatuan Orang Pekak Sarawak.

“Saya terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan dari segi sokongan kepada kumpulan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan pendengaran dan sebagainya,”katanya.

Jia Chin

Anak ketiga daripada tiga beradik itu menambah, pada 10 Jun lalu, dia bekerja sepenuh masa di Persatuan Orang Pekak Sarawak sebagai jurubahasa isyarat, selain bekerja dalam pejabat persatuan.

“Saya belajar mengenai bahasa isyarat daripada Ernest Ting. Dia banyak mengajar saya mengenai setiap bahasa isyarat yang bermula dari peringkat satu hingga peringkat dua.

“Untuk menguasai bahasa isyarat memerlukan latihan yang kerap dan kesabaran yang tinggi. Belajar bahasa berkenaan tidak sama seperti pembelajaran konvensional,” ujarnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, minat juga memainkan peranan penting dalam belajar bahasa isyarat.

Sehingga sekarang, dia mengakui tidak pernah berhenti mempelajari bahasa isyarat.

“Kadangkala saya sendiri menghadapi kesukaran apabila hendak memahami apa-apa yang hendak disampaikan oleh rakan (pekak) dan meminta mereka tunjukkan isyarat itu secara perlahan-lahan,” katanya sambil tersenyum.

Menceritakan pengalaman keluar di khalayak ramai bersama-sama sahabatnya yang kelainan pendengaran, Jia Chin berkata, dia kalangkala juga dianggap oleh orang awam menghadapi masalah pendengaran.

“Saya bergaul dengan orang kelainan pendengaran dan berko- munikasi menggunakan bahasa isyarat. Jadi, saya tidak hairan jika orang awam ingat saya juga ada masalah pendengaran.

“Kami juga pernah menerima pandangan pelik apabila kami berkomunikasi tanpa suara,” katanya.

Meskipun memilih kerjaya yang sedemikian, Jia Chin menyatakan keluarganya menyokong penuh pilihannya.

Persatuan Orang Pekak Sarawak, Kuching mempunyai empat jurubahasa isyarat sukarelawan yang sering datang berkhidmat dengan persatuan.