SIBU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mensasarkan penyertaan lebih 2,000 ahli baharu dalam usaha agensi itu memperkasakan ekonomi golongan wanita terutama di kawasan tengah Sarawak.

Penolong Pengurus AIM Wilayah Sarawak Tengah, Abdul Hafiz Soni berkata, kawasan tengah mencatat keahlian baharu seramai 915 orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di bawah empat cawangan seliaanya iaitu, Sarikei, Mukah, Sibu dan Daro.

Sehubungan itu, katanya, mereka mensasarkan penyertaan sekurang-kurang 2,730 orang sahabat baharu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kita mahu sahabat AIM memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan dan kemahiran menerusi program bimbingan demi memajukan ekonomi masing-masing. Tambahan pula, kita menawarkan pelbagai kelebihan kepada sahabat selain Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) bagi tujuan perniagaan,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, mereka yang sudah mendaftar sebagai sahabat berpeluang menikmati keistimewaan melalui Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dengan objektif meningkatkan kerjasama dalam kalangan sahabat, mengurangkan beban sahabat dan waris apabila menghadapi musibah di samping meningkatkan kebajikan mereka.

Penghulu Andrewson Ngalai memukul gong simbolik perasmian program sambil diperhatikan tetamu yang lain.

Menurutnya, melalui TKKS, sahabat memperoleh pelbagai faedah antaranya, khairat kematian, sumbangan perubatan untuk masuk wad, penyakit kronik, skala manfaat kemusnahan rumah, kemusnahan projek, bencana besar dan lain –lain lagi.

“AIM terus mencari jalan mengadakan pelbagai program motivasi dan bimbangan terhadap sahabat-sahabat usahawan demi menjayakan ekonomi setempat. Justeru, dengan meningkatnya jumlah usahawan sahabat AIM di sesuatu kawasan, sekaligus berupaya mencorakkan persekitaran ekonomi msyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz menasihatkan sahabat supaya tidak mudah berputus asa sekiranya gagal mencapai kejayaan di peringkat awal.

Ujarnya, mereka perlu mengkaji setiap kelemahan dan berusaha memperbaikinya demi meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan sekaligus memperbesarkan skop perniagaan masing-masing.

“Lebih penting pastikan soal pengurusan kewangan ditadbir dengan betul, diikuti perbelanjaan peribadi dan kos pemasaran untuk menjayakan pasaran sesuatu produk agar tidak berlebihan dengan kehendak sasaran.

“Kita sentiasa komited membimbing sahabat agar mereka mampu menjadi usahawan yang berjaya. Pada masa sama, mereka yang memperolehi pinjaman kewangan menerusi kelas-kelas bimbingan sedia ada, perlu mematuhi peraturan serta membayar balik pinjaman mengikut jadual.

“Mereka yang mampu membayar balik pinjaman sudah pasti akan mendapat pembiayaan kewangan lebih besar,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu, AIM mengadakan program Randau AIM Sarawak Tengah Siri Pertama di Dewan Penghulu Balang Sekuau, Sibu baru- baru ini.

Katanya, program yang dihadiri oleh seramai 250 peserta itu memfokuskan peranan AIM dalam menyediakan sumber modal selain berkempen bagi menarik kemasukan sahabat baharu kepada penduduk setempat dan memberi pendedahan tentang keistimewaan yang ditawarkan melalui TKKS.

Hadir sama, Pengarah Operasi Borneo AIM, Che Madi Idris, Pengurus Wilayah Sarawak Tengah, Hasbi Naziri, Pegawai Eksekutif Wilayah, Mohd Zamirul Kipli, Pengurus Cawangan AIM Cawangan Sibu, Nor Azrahidayu Azman, Penghulu Andrewson Ngalai dan pemimpin masyarakat setempat.

Peserta mengabadikan kenangan beramai-ramai