Tahniah kerana semua ahli Dewan Rakyat berjaya meluluskan undang-undang mengenai  pengisytiharan harta dalam kalangan ahli Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas 2019 yang sedang berlangsung sekarang. Usul yang dibentangkan oleh Menteri Undang- undang Datuk Liew Vui Keong itu disokong semua wakil rakyat kerajaan menerusi undian suara.

Memetik Menteri Undang-undang dalam laporan sebuah media cetak menyatakan bahawa pembentangan usul itu berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan. “Semua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun sebagaimana yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Vui Keong menegaskan bahawa ahli parlimen yang gagal mengisytihar aset dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini, akan dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan. Ini menunjukkan kerajaan PH serius dalam menjulang nilai tadbir urus yang baik dalam organisasi. Langkah ini amat sesuai bagi memastikan prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban serta ketelusan menjadi pegangan semua ahli dewan rakyat yang telah mendapat mandat daripada rakyat.

Isu Keselamatan

Dick Lembang Dugun

Namun begitu, segelintir ahli parlimen kurang bersetuju dengan pengenalan undang-undang pengisytiharan harta dalam kalangan ahli parlimen dan ahli keluarga dengan beberapa alasan. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan berkaitan dengan isu keselamatan ahli parlimen dan keluarga dengan membuat pengisytiharan harta.

Memetik laporan sebuah media cetak eletronik, Ahli Parlimen Pekan itu bersetuju pengisytiharan harta akan menyebabkan ahli parlimen berdepan risiko keselamatan. Ada rasional juga yang diperkatakan oleh bekas perdana menteri berkenaan dengan isu keselamatan terutama bagi ahli parlimen yang bukan anggota badan eksekutif seperti yang didakwa beliau. Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan tindakan kerajaan mewajibkan ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta sedangkan masih ada ada wakil rakyat PH yang belum berbuat demikian.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan itu tidak masuk akal. Beliau berpendirian bahawa hanya pemimpin dalam kerajaan sahaja perlu mengisytiharkan harta. Ia tidak harus melibatkan ahli parlimen pembangkang. Sepatutnya, beliau merupakan seorang ahli parlimen yang kanan dalam dewan rakyat harus berpandangan jauh dalam hal ini kerana pengisytiharan harta ini baik untuk pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

Melalui pengisytiharan harta, rakyat tidak meragui serta mempersoalkan integriti ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat terutama berkenaan dengan pendapatan mereka. Malahan, reaksi daripada Pas menerusi Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laporan sebuah media mengatakan bahawa hanya wakil rakyat kerajaan wajar membuat perisytiharan itu.

Ini berbeza dengan wakil pembangkang yang tidak mempunyai aset atau kedudukan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat atau mempengaruhi projek kerajaan. Beliau turut menambah, kerajaan perlu lebih teliti dalam mencadangkan sesuatu usul dan tidak bersikap gopoh dalam tindakannya berhubung sesuatu perkara. Sementara itu, bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menyambut baik pengenalan undang-undang pengisytiharan harta yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau percaya amalan tadbir urus yang baik dalam sebuah organisai akan memberi faedah kepada rakyat. Prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran merupakan salah satu elemen dalam nilai tadbir urus yang baik. Ketua Menteri berharap semua ahli parlimen dari Sarawak akan membuat pengisytiharan harta masing-masing.

Tuntasnya, pelbagai reaksi diterima dalam kalangan ahli Dewan Rakyat berkenaan dengan usul pengisytiharan harta. Apa pun kritikan atau pandangan yang dikemukakan, satu elemen penting yang perlu difahami oleh semua ahli parlimen adalah berkaitan dengan reformasi dilakukan oleh kerajaan iaitu berkaitan dengan nilai tadbir urus yang baik. Semua ahli parlimen perlu mempunyai rasa kebertanggungjawaban kepada rakyat dengan mengamalkan nilai tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. Salah satu perkara perlu dilakukan adalah mengisytiharkan harta.

Namun begitu, persoalan yang perlu difikirkan adalah berkenaan dengan kesan daripada pengisytiharan harta ini. Adakah dengan melakukan pengisytiharan harta ini dapat menjauhkan pemimpin daripada barah rasuah dan salah guna kuasa? Sejauh manakah kriteria harta yang perlu diisytiharkan? Adakah termasuk harta-harta di luar negara atau tidak? Ini merupakan perkara yang sudah pasti perlu diperhalusi seiring dengan matlamat pengenalan undang-undang pengisytiharan harta.

Hak Rakyat Malaysia

Inisiatif Kerajaan PH ini adalah sejajar dengan perjuangan atau janji mereka dalam manifesto yang ingin membuat reformasi dalam institusi termasuk Dewan Rakyat. Tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang pengisytiharan harta dalam kalangan ahli Dewan Rakyat ini adalah sejajar dengan kehendak rakyat menginginkan sebuah kerajaan bertanggungjawab serta telus dalam menguruskan sumber serta kewangan negara yang merupakan hak rakyat Malaysia.

Rakyat dalam Malaysia baharu memerlukan semua pemimpin yang menjulang nilai tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas. Sebagai sebuah negara yang ingin menjadi negara maju, amalan nilai tadbir urus yang baik harus diperkasakan oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan atau ahli parlimen harus menunjukkan contoh kepada rakyat dalam perkara ini.

Kerajaan harus menjadikan Jabatan Integriti Negara sebagai sebuah badan yang berfungsi sepenuhnya dalam menerapkan nilai tadbir urus yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia atau organisasi yang berkaitan dengan kerajaan. Semoga dengan pengenalan undang-undang pengisytiharan harta dalam kalangan ahli Dewan Rakyat ini dapat membuka dimensi baru dalam sistem politik Malaysia.

• Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di Unimas.