KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menangguhkan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (Idecs) 2019 semalam dengan kenyataan jelas, mahu Kuching muncul sebagai kota pintar yang moden, mesra rakyat dan selamat.

“Sekarang ia selamat, tetapi kita mahu pastikan pada tahun 2030, ia terus menjadi kota yang mesra dan selamat,” katanya lagi.

Menurut Abang Johari, membina kota pintar ala-Sarawak adalah dengan mempelajari daripada kepincangan kota lain dan menjadikan pengalaman itu untuk merancang teliti akan bandar kita.

“Sesetengah kota mempunyai menara pencakar langit, bangunan tinggi, namun perancangan apabila membangunkan kota kita mestilah tepat.

“Kita belajar daripada kesilapan (kota) yang lain,” tegasnya yang mengakui perlunya hubungan sim- biotik di antara bandar dan penduduknya.

Untuk itu katanya, beliau dan rombongan Kerajaan Sarawak telah berkunjung ke beberapa ‘kota baharu’ di dunia, seperti Shanghai dan Shenzen di China untuk mempelajari bagaimana mereka berangkai dengan teknologi dalam memastikan kota-kota itu selamat.

Pada masa yang sama katanya, ketika membangunkan kota pintar, beliau mahu taraf hidup populasi di luar bandar negeri ini ditingkatkan.

“Ia harus dilihat dari perspektif berbeza pada hari ini, dengan mempunyai aktiviti ekonomi yang menyediakan pendapatan kepada penduduk luar bandar.

Kita perlu bekalkan input yang tepat termasuk teknologi yang boleh mengembangkan produktiviti dan pada masa yang sama, menghasilkan pendapatan yang lebih baik.

“Itu yang Kerajaan Sarawak lakukan untuk penduduk luar bandar,” katanya lagi.

Beliau yakin negeri ini mampu mewujudkan kota-kota pintar ini kerana memiliki tenaga, modal insan yang kreatif dan bardaya maju dan kaya dengan sumber asli.

“Yang penting, ia memiliki ekosistem untuk bergerak ke hadapan dan ada keseimbangan.

“Dan kerana itu, Sarawak menggunakan ekonomi digital sebagai kenderaan untuk bergerak ke hadapan sehingga tahun 2030,” ujarnya lagi.

Persidangan kali ketiga ini berlangsung selama dua hari, sejak Isnin dan menampilkan penceramah terkemuka seperti pakar fizik dan peramal masa depan, Dr Michio Kaku dan pakar strategi inovasi dan digital, Inma Martinez.