KUCHING: Seorang lelaki dari Taman Everbright dikenakan denda RM500 atau tiga bulan penjara setelah mengaku bersalah menjual telefon bimbit curi semalam.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof mengenakan denda terhadap Yong Vui Fatt, 33, setelah tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Yong mengaku dengan sengaja melupuskan sebuah telefon bimbit jenis Samsung yang dicuri dari sebuah kedai yang membaiki telefon rosak.

Tertuduh telah melakukan pelupusan barangan curi berkenaan pada jam 3.50 petang di sebuah kedai minum di pasar Sungai Maong pada 30 Jun lalu.

Menurut fakta kes, pengadu seorang penyelia di sebuah kedai membaiki telefon diberitahu pekerja bahawa pejabat mereka telah di ecah masuk dan ketika meninjau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pengadu mendapati pejabat telah dipecah masuk pada jam 2.15 pagi pada 30 Jun lalu dan barangan yang hilang adalah sebuah telefon Samsung.

Berdasarkan rakaman itu, pengadu terus membuat laporan polis dan pada 2 Julai kira-kira jam 3.15 petang.

Polis dapat menahan seorang suspek di sebuah kedai menjual keranda di Batu 3 1/2 berdekatan Taman Everbright, di sini.

Dalam rayuannya, tertuduh menyesal melakukan kesalahan itu dan berjanji akan berkelakuan baik dan tidak akan mengulangi.

Sementara itu dalam kes berasingan dua lelaki yang mengaku tidak bersalah menceroboh sebuah kilang di Jalan Bako dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan dua penjamin tempatan.

Majistret Chai Guan Hock membenarkan Mohd Rosli Yusuf Belarek, 24, dan Fadil Zakaria, 20, dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kes disebut semula paad 7 hingga 8 Ogos depan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 kanun Keseksaan setelah didapati menceroboh sebuah kilang pada jam 12.30 ptg pada 4 Julai lalu di Demak laut, Jalan Bako.

Manakala, seorang lelaki dikenakan denda RM2,000 ataupun tiga bulan penjara dan diarah menjalani pemerhatian di Agensi Dadah Merbahaya (AADK) selama dua tahun setelah mengaku mengambil dadah jenis syabu.

Hon Ping Po dari Jalan Green didapati positif amphetamine dan methamphetamine di pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontingen pada jam 10.30 malam pada 26 Februari lalu.