KUCHING Marathon 2019 edisi keenam yang diadakan 18 Ogos depan menjanjikan hadiah lumayan, RM100,000 kepada pemenang.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi keenam Kuching Marathon ini menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000 bagi menarik lebih ramai peserta menyertai temasya peringkat antarabangsa yang cukup popular itu.

“Tahun lepas keseluruhan hadiah berjumlah RM80,000, tahun ini kita naikkannya men- jadi RM100,000.

“Selain itu semua peserta yang disahkan menamatkan larian akan diberi pingat unik yang mempunyai corak budaya Kuching,” katanya.

“Mereka yang berdaftar akan mendapat baju T khas, manakala pemenang larian 42 km dan 21 km akan mendapat baju khas,” katanya pada sidang media di Kuching semalam.

Menurut beliau, penyertaan yang telah mencecah 9,000 setakat ini akan bertambah kerana tarikh pertandingan masih panjang.

“Kita menjangkakan jumlah peserta akan mencapai sekitar 13,000 dalam masa sebulan sebelum acara dimulakan.

“Peserta akan mula berpusu-pusu mendaftar apabila tarikh pertandingan semakin dekat,” ujarnya.

Jelasnya, jumlah peserta luar yang telah mendaftar setakat ini telah mencapai sehingga 10 peratus penyertaan daripada jumlah keseluruhan peserta.

Brunei telah mendaftar seramai 293, China 78 orang, Indonesia (224), Kenya(19), New Zealand, Singapura, dan lain-lain negara.

Peserta dari Sabah 633 orang, 165 dari Johor, Selangor 464 orang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 566 orang. Kuching Marathon kali ini mempertandingkan empat ka- tegori iaitu maraton penuh, 42 km, separuh maraton, 21 km, 10 km, dan kategori larian hiburan iaitu 5 km.

Turut hadir semalam ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee, Datuk bandar Dewan Bahasa Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee dan Presiden Persatuan Marathon Bahagian Kuching Wong Chen Yi.