Bayangan masa depan Sarawak!

Pernahkan anda terfikir bentuk dan rupanya?

Peramal masa depan terkemuka, Dr Michio Kaku membawa kita melayari realiti yang akan berlaku. Menurutnya, Sarawak bahkan dunia seluruhnya perlu bersedia menghadapi perubahan yang berlaku pada masa depan.

Masa depan, umur manusia semakin panjang. Malah kadar kelahiran juga mengkagumkan. Penyakit dapat diakses dengan bantuan teknologi, dan lebih tepat dan mendalam.

“Untuk mendiagnosis kesihatan anda, akan dicipta satu pil. Di dalam pil tersebut akan ada cip komputer yang dilengkapi kamera dan magnet. Anda akan menelan pil tersebut. Magnet akan membawa pil tersebut ke dalam perut, seterus ke bahagian bawah perut. Kamera akan merakam imej di dalam perut dan di kawasan yang sakit. Ia umpama ‘perisik’, tetapi di dalam badan anda.”

Dr Michio, 72, bukan sembarangan orang. Beliau yang lahir dari San Jose, California merupakan ahli teori fizik, peramal masa depan dan tokoh sains komukator. Beliau merupakan profesor di City College of New York dan CUNY Graduate Center.

Dr Michio dikenali kerana beberapa buku best sellersnya seperti Physics of the Impossible (2008), Physics of the Future (2011) dan The Future of the Mind (2014).

Dengan bersahaja, tokoh berbangsa Jepun ini menghiburkan audiens Persidangan Antarabangsa Digital Ekonomi Sarawak (Idecs) 2019 dengan ramalan masa depan yang berdasarkan fakta. Katanya, kalau dahulu kereta terbang adalah angan-angan, sains dan teknologi telah menjadikannya realiti.

Malah katanya, pada masa depan akan popular kekanta sentuh atau contact lens yang dilengkapi cip komputer. Mungkin kita melihatnya dalam siri sekuel Iron Man mahupun yang terkini Spiderman: Far From Home. Akan tertera maklumat biografi tentang seseorang manusia yang kita lihat menerusi kekanta sentuh terbabit. Di pameran Idecs 2019, telah wujud data sebegitu, dan ia digunakan pada sistem kamera litar tertutup di gerai pamer milik Lembaga Multimedia Sarawak. Kata Dr Michio, jika seseorang individu bercakap dengan pemilik kekanta sentuh tersebut dalam bahasa asing, ia juga boleh menterjemah bahasa tersebut ke bahasa yang difahami secara automatik. Ini katanya, antara bayangan masa depan.

Pun begitu, beliau berulang kali memberi nasihat kepada audiens agar tidak hilang nilai kemanusiaan. Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh manusia termasuk membuang sampah.

Yang jelas Idecs 2019 yang berakhir hari ini memberi bayangan masa depan, bukan sahaja kepada Sarawak, juga kepada seluruh dunia. Teknologi memudahkan dan memukau. Ia jauh melangkaui politik ataupun emosi manusia.

Malah bukan mustahil, Sarawak mungkin melaksanakan kereta terbang pertama, selepas menjayakan kereta hidrogen, kerana teknologi itu sudah tercipta. Ya, penekanan terhadap IoT atau internet of things, pemerkasaan teknologi 5G serta tumpuan kepada industri 4.0 bakal mengubah landskap negeri ini. Sarawak sudah di atas landasan yang betul. STEM, Centexs dan sebagainya, adalah langkah kanan ke arah itu.