KUCHING: Mantan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Seri James Dawos Mamit meninggal dunia pada jam 11.30 malam Isnin lalu di kediamannya di Taman Stutong Indah di sini.

Perkara ini disahkan oleh isterinya, Datin Christine Dawung Narub apabila memberitahu, mendiang suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun selepas bertarung dengan jangkitan paru-paru, mata dan telinga akibat kesan sampingan daripada kanser hidung yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan kesihatannya mula merosot sejak April apabila mengalami kesukaran menelan kerana otot tekak yang lemah.

Mendiang memulakan karier politiknya apabila bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum 1999 di kawasan Mambong yang kini dikenali sebagai Parlimen Puncak Borneo.

Mendiang kemudiannya menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada tahun 2015 hingga 2018.

Sebelum itu, mendiang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari tahun 2013 hingga 2015.

Mendiang juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dari tahun 2009 hingga 2013.

Ahli Parlimen selama empat penggal ini merupakan saintis alam sekitar yang mengambil keputusan mengundur diri daripada karier politik beberapa bulan sebelum PRU14 akibat masalah kesihatan.

Mendiang meninggalkan seorang balu, tiga anak lelaki dan tujuh cucu.

Mendiang dijangka disembahyangkan di Gereja St Ann, Batu 10 pada pukul 10 pagi Jumaat dan kemudian dikuburkan di tapak perkuburan Kampung Stabut, Padawan, tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan.